SALAK TINGGI- Kementerian Pembangunan Luar Bandar mensasar melahirkan 100,000 usahawan wanita desa pada tahun 2020.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, mengikut statistik terkini terdapat hampir 84,000, atau 24 peratus usahawan wanita desa, yang berdaftar dengan kementeriannya.
Katanya, angka itu merupakan mesej jelas yang menunjukkan kaum wanita jauh ketinggalan dalam bidang keusahawanan apabila hanya 3,000 usahawan wanita desa sahaja yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Sebenarnya ramai wanita didapati terlibat keusahawanan di luar bandar namun atas kertas menunjukkan hanya 24 peratus sahaja yang berdaftar dan kebanyakannya tak berdaftar dengan SSM.
“Ditanya kenapa, alasan yang diterima kami adalah mereka takut akan kehilangan bantuan kerajaan jika berdaftar dengan SSM.
“Sebagai mengikis tanggapan salah itu, kami mengambil inisiatif untuk mengubah pemikiran janggal mereka supaya berani menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku bertemakan ‘Wanita Desa ke Global’ hari ini.
Sementara itu, Rina berkata, adalah tidak relevan pemikiran wanita desa terus dikongkong dan cepat berpuas hati dengan bantuan kerajaan.
Katanya, misi kementerian untuk mencapai Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang mahu memastikan lebih ramai jutawan dalam kalangan usahawan wanita tidak akan terlaksana tanpa kerjasama dan penglibatan wanita desa.
Katanya, ia bukan dasar Rina Harun atau dasar Ketua Setiausaha Kementeriannya sebaliknya ia adalah dasar bersama untuk memperkasa wanita ke arah usahawan berjaya di peringkat global.
Dalam pada itu kata Rina, kementeriannya dalam proses untuk memperkenalkan Diploma Lanjutan dalam bidang kemahiran seni keusahawanan di Akademi Kemas Seri Iskandar Perak.
Berikutan itu, beliau meminta wanita desa bersiap sedia dan berani menghadapi cabarabn bagi membolehkan mereka memainkan peranan seperti mana diharapkan kerajaan dalam ekonomi negara. – MalaysiaGazette