WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) amat kecewa sekiranya Korea Utara melakukan ujian peluru berpandu jarak jauhnya dan berjanji akan mengambil tindakan sepatutnya selaku peneraju kuasa ketenteraan dan ekonomi dunia, kata Penasihat Keselamatan White House, Robert O’Brien.
Washington memiliki keupayaan untuk membalas balik ujian sedemikian, kata O’Brien dalam satu temubual bersama program This Week terbitan ABC.
“Sekiranya Kim Jong Un mengambil pendekatan sedemikian, kami sangat-sangat kecewa dan akan menzahirkan kekecewaan tersebut,” tegasnya.
Korea Utara telah meminta Washington untuk menawarkan satu inisiatif baharu bagi menyelesaikan pertikaian berhubung program senjata nuklear Pyongyang.
Ia memberi amaran kepada Washington bulan ini, sekiranya AS gagal memenuhi harapannya, mereka akan mendapat hadiah “Hari Krismas” yang tidak diingini.
Menurut komander-komander AS, antara langkah yang mungkin diambil Korea Utara adalah menguji peluru berpandu jarak jauh, senjata yang telah digantung tugas bersama ujian bom nuklear sejak 2017.
Menurut O’Brien, AS dan Korea Utara telah membuka saluran komunikasi bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.
Tambahnya, Washington berharap pemimpin Korea Utara akan terus berpegang pada janjinya untuk menghentikan program nuklear di Semenanjung Korea.
AS katanya, masih lagi kuasa terkuat dalam ketenteraan dunia dan mempunyai kuasa ekonomi yang kukuh.
“Terdapat banyak tekanan yang kami boleh berikan,” ujarnya.
Menurut O’Brien, beliau berharap Jong Un memberi pertimbangan semula tetapi AS tetap akan memantau perkembangan tersebut dengan teliti.
“Kami berharap beliau boleh memberi pertimbangan semula tetapi kita harus tunggu dan lihat.
“Kami akan memantau perkembangan tersebut dengan teliti, situasi ini pastinya menimbulkan kebimbangan kepada kami,” katanya lagi.- Agensi