Home Ekonomi Kerajaan perlu tumpu sektor minyak, tekstil, perladangan dan makanan

Kerajaan perlu tumpu sektor minyak, tekstil, perladangan dan makanan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Dewan Perdagangan ASEAN meminta kerajaan memberi perhatian dalam sektor minyak, tekstil, perladangan dan makanan bagi memantapkan usahawan Malaysia di peringkat serantau.

Menurut Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir, perkara tersebut telah dibangkitkan dalam satu pertemuan di antara persatuan tersebut dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Perjumpaan bersama Menteri Kewangan hari ini bagi memastikan kemajuan perdagangan negara kita. Kita telah diberi pelbagai tunjuk ajar dengan jelas berhubung hala tuju untuk memantapkan kredibiliti usahawan tempatan sehingga ke peringkat ASEAN.

“Dewan Perdagangan ASEAN akan mengatur lebih luas langkah untuk mengadakan beberapa siri lawatan ke negara-negara ASEAN bagi memantapkan interaksi perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir dalam sesi pertemuan tersebut ialah Presiden MOFAZ Group, Mohamed Fauzy Abdul Hamid sebagai Pengerusi Kerjasama antara IAIB yang mewakili Dewan Perdagangan ASEAN dan Ahli Jawatankuasa ASEAN, Datuk Tan Choon Hwa merangkap Pengerusi Biro Pelaburan dan Hartanah.

Dalam pertemuan itu, Moehamad Izat memberitahu, Dewan Perdagangan ASEAN yang kini berusia dua tahun telah mengadakan lawatan Misi Dagang Ke Luar Negara antaranya ke Rusia, Jakarta, Khazastan, Qatar dan Pekan Baru, Indonesia.

“Menerusi lawatan yang kita telah adakan di Jakarta, pihak kami telah menemui Gabenor Jakarta, Anies Baswedan untuk rapatkan hubungan perdagangan dengan pedagang di Jakarta.

“Misalnya, di Qatar merupakan paling menarik kerana ramai pedagang Qatar yang ingin bekerjasama dengan pihak kami. Qatar juga telah calonkan Naluri Alam untuk atur gabungan kerjasama pedagang Malaysia dan Qatar,” jelasnya.

Tumpuan terhadap beberapa bidang juga perlu disegerakan supaya ia dapat memberi manfaat kepada usahawan dalam negara serta seluruh masyarakat rantau ASEAN, tambahnya. – MalaysiaGazette