KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melabur RMB600 juta (RM384 juta) untuk mengembangkan kilang pelincir pengadunan di Shandong, China bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk produk tersebut.
Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pengeluaran tahunan kilang dalam zon pembangunan ekonomi Weifang dijangka meningkat daripada 45,000 kepada 150,000 tan.
Peningkatan kapasiti itu termasuk pelincir automotif dan industri.
“Pengembangan fasa kedua di kilang Shandong menambah kapasiti pengeluaran yang amat diperlukan membantu Petronas memenuhi permintaan yang melonjak untuk produk kami.
“Pengembangan strategik kehadiran kami di China menggambarkan kepentingan Petronas kepada pelanggan tempatan serta keyakinan terhadap prospek Petronas bagi pertumbuhan masa depan di pasaran China,” kata Wan Zulkiflee.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena pelancaran operasi kilang Petronas di bawah Petronas Lubricants International.
Selain pengeluaran minyak pelincir, Petronas juga aktif mengembangkan perniagaan gas asli cecair di negara itu. – MalaysiaGazette