Home Dunia Bekas Pengerusi Nissan minta bantuan Presiden Lubnan

Bekas Pengerusi Nissan minta bantuan Presiden Lubnan

Carlos Ghosn. foto Bloomberg

BEIRUT – Bekas Pengerusi Nissan, Carlos Ghosn bertemu dengan Presiden Lubnan selepas berjaya keluar dari Jepun.

Ghosn dipercayai diseludup keluar dari tahanan rumah oleh sebuah syarikat keselamatan persendirian, menurut dua sumber.

Salah satu sumber berkata, Ghosn disambut oleh Presiden Michel Aoun pada hari Isnin selepas terbang ke Beirut melalui Istanbul.

Rancangan untuk membawa keluar Ghosn dari Jepun selepas beliau menggoncangkan industri auto dunia, telah dipercayai dibuat selama tiga bulan, kata kedua-dua sumber itu.

“Ia adalah operasi sangat profesional dari awal hingga akhir,” kata mereka.

Ghosn mengucapkan terima kasih kepada Aoun atas sokongan yang diberikannya semasa dia ditahan, kata sumber itu dan kini memerlukan perlindungan dan keselamatan kerajaannya selepas melarikan diri dari Jepun.

Pertemuan antara Aoun dan Ghosn tidak diumumkan dan penasihat media pejabat presiden menafikan pertemuan kedua-duanya.

Tetapi kedua-dua sumber menyatakan pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Ghson.

Ghosn tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai mesyuarat itu tetapi telah mengeluarkan kenyataan bertulis sejurus selepas ketibaannya di Lubnan dengan mengesahkan beliau berjaya “meloloskan diri daripada ketidakadilan dan penganiayaan politik”.

Pegawai Lubnan berkata, pihaknya tidak perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ghosn kerana beliau memasuki negara secara sah menggunakan pasport Perancis, walaupun pasport Perancis, Lubnan dan Brazil milik Ghosn berada dengan peguamnya di Jepun.

Kementerian-kementerian asing dan Perancis berkata, mereka tidak tahu menahu tentang perjalanan Ghosn.

Lubnan tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Jepun.

Ghosn ditangkap pertama kali di Tokyo pada November 2018 dan menghadapi empat pertuduhan – yang dinafikannya – termasuk menyembunyikan pendapatan dan memewahkan dirinya melalui pembayaran kepada pengedar kereta di Timur Tengah. – MalaysiaGazette