Home Nasional Tingkatkan gaji, kurangkan beban pekerja

Tingkatkan gaji, kurangkan beban pekerja

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan menaikkan kadar gaji pekerja melalui pemotongan cukai korporat bagi membolehkan penjawat swasta menerima bayaran setimpal dengan kos kehidupan yang kian meningkat.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bayaran kadar gaji mengikut kos sara hidup semasa mampu menjamin kesejahteraan pekerja dengan lebih komprehensif.

“Jika akhirnya kerajaan BN memperkenalkan gaji minima selepas desakan sekian lama Kesatuan Sekerja dan parti-parti pembangkang, sudah tiba masanya wujud insentif untuk ‘living wage’ yang lebih baik.

“Nisbah keuntungan yang dibolot majikan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masih tinggi, sedangkan nisbah upah pekerja masih rendah berbanding negara-negara maju,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2016 dengan bayaran gaji minimum RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak membabitkan 700,000 majikan dan syarikat berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia.

Pelaksanaan perintah gaji minimum itu disemak setiap dua tahun sekali oleh Jawatankuasa Penyelarasan Gaji Negara terdiri daripada majikan, pekerja, wakil Bank Dunia dan kementerian.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, AMK menyokong usaha untuk memperkenalkan skim insurans pekerja, namun sebarang kaedah yang diguna pakai untuk skim itu perlu tidak membebankan pekerja.

“Ia perlu dijalankan dengan telus agar tidak berlakunya penyalahgunaan wang rakyat seperti yang terlalu biasa untuk kerajaan sedia ada,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Pakatan Harapan akan mengubah kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dari enam peratus kepada kadar sifar agar tidak membebankan rakyat sekiranya mengambil alih tampuk pimpinan negara.

“Warga pekerja merupakan nadi pembangunan negara, dan setiap pekerja sepatutnya lebih dihargai di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette