Home Nasional Siapa selepas Maszlee?

Siapa selepas Maszlee?

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bercakap semasa sidang media khas mengenai perletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Siapa selepas Maszlee?

Peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan menimbulkan persoalan siapa penggantinya.

Mungkin tugas itu dipangku oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad namun ia hanya sementara.

Sebagai PM, beliau tidak boleh memegang dua jawatan serentak berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Kalau masih ingat, Mahathir pernah menyatakan untuk memegang jawatan Menteri Pendidikan selepas menang PRU-14 namun ‘terhalang’ oleh manifesto PH sebelum memilih Maszlee.

Kalau diimbas zaman Barisan Nasional (BN) dahulu, semua perdana menteri pernah menjadi menteri pendidikan.

Ini bukti jawatan di kementerian itu bukan kaleng-kaleng, kata budak-budak sekarang.

Kini Maszlee sudah berhenti, jadi siapa layak jadi pengganti?

Apa pun, individu itu mesti dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Justeru, ada beberapa nama muncul.

Ada yang kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu akan diganti oleh bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Mustapha Mohamed atau dikenali Tok Pa.

Ini memandangkan Perdana Menteri dilihat menaruh kepercayaan kepada Tok Pa yang dikenali seorang yang kuat bekerja selain kesanggupannya bertukar kem meninggalkan BN selepas PRU-14.

Memandangkan tidak ada ramai lagi pemimpin yang boleh ditonjolkan oleh Bersatu, jawatan itu mungkin juga diberi kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Memang ia nampak ada unsur kroni namun ‘peralihan’ itu tidak mustahil kerana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah ditukar menjadi menteri semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

Tambahan pula, prosesnya mudah memandangkan Mukhriz juga menjadi ahli parlimen.

Atau pun, Perdana Menteri memilih seseorang diluar lingkaran pimpinan Bersatu iaitu mengambil tokoh akademik memimpin kementerian berkenaan.

Lebih ekstrem, ada kata akan berlaku percaturan baharu dalam kalangan menteri sendiri melibatkan wakil parti-parti dalam PH sekiranya Mukhriz jadi Menteri Pendidikan.

Kali ini ada melibatkan ‘penurunan pangkat’ – ada menteri penuh bertukar menjadi timbalan menteri.

Ada kata, jawatan Mukhriz di Kedah akan digantikan dengan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Tok Pa pula akan menggantikan Amiruddin.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rina Harun pula turun pangkat menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kekosongan jawatan selepas kematian Allahyarham Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik).

Sementara itu, bekas menteri zaman BN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula menggantikan tempat Rina sebagai menteri.

Ada juga mengandaikan ia wajar diberi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan Ahli Parlimen Port Dickson dahulu pernah menjawat tugas yang sama dahulu dan sebagai usaha medan latihan semula sebelum mengambilalih jawatan daripada Mahathir sebagai PM kelak.

Apa pun, itu semua berstatus khabar angin terutama dalam kalangan pembangkang yang sudah pasti mengambil kesempatan daripada suasana ‘kekeruhan’ yang berlaku dalam kerajaan.

Apa pun rakyat Malaysia berharap menteri pendidikan yang baharu mesti mampu menangani isu dengan baik dan menangani kemelut politik perkauman. – MalaysiaGazette