Home Dunia Kebakaran: Tentera laut mulakan operasi pindah penduduk

Kebakaran: Tentera laut mulakan operasi pindah penduduk

Lokasi kebakaran belukar dan hutan di Australia.

SYDNEY – Tentera laut Australia telah memulakan operasi memindahkan beratus-ratus penduduk yang terperangkap
di bandar Mallacoota yang terbakar.

Dianggarkan kira-kira 1,000 penduduk perlu dibawa keluar.

Sekitar 4,000 penduduk dan pelancong telah terkandas di pantai sejak malam Isnin apabila kebakaran belukar dan hutan telah menjejaskan jalan raya di Victoria.

Beribu-ribu orang melarikan diri dari bahagian selatan New South Wales, yang mana telah diisytiharkan darurat.

Kebakaran belukar dan hutan yang berlaku sejak bulan September lalu telah membunuh 19 orang di kedua-dua negeri.

Lebih daripada 1,200 rumah telah dibakar.

Sekurang-kurangnya 28 orang masih hilang selepas kebakaran minggu ini sahaja.

Sementara itu, Perdana Menteri Scott Morrison telah dikritik keras berhubung tindakan kerajaan terhadap kebakaran yang berlaku.

Malah, beliau telah dimaki hamun oleh penduduk Cobargo, New South Wales yang sangat marah hingga menyebabkan Morrison menangguhkan lawatannya ke kawasan yang terbakar.

Morrison juga menghadapi kritikan terhadap dasar perubahan iklimnya, tetapi beliau menegaskan Australia mematuhi sasaran antarabangsa “lebih baik daripada kebanyakan negara” lain.

Namun pemimpin Parti Buruh, Anthony Albanese mengatakan tindakan dan langkah yang diambil kerajaan tidak cukup.

Morrison sebelum ini telah dikritik kerana pergi bercuti ke Hawaii ketika krisis kebakaran hutan semakin memburuk.
Kemarahan orang awam yang semakin meningkat semasa ketiadaannya, akhirnya memaksa Morrison memendekkan percutiannya.

Pemimpin New South Wales, Gladys Berejiklian telah mengisytiharkan keadaan kecemasan selama seminggu sebagai tindak balas terhadap ancaman kebakaran hutan yang semakin meningkat, yang bermula pukul 8 pagi waktu tempatan pada hari Jumaat (21:00 GMT pada Khamis).

Pengisytiharan darurat dibuat susulan ramalan cuaca panas dan kering dengan angin kuat pada minggu ini – dikhuatiri menyebabkan kebakaran sedia ada merebak dengan cepat. – MalaysiaGazette