Home Nasional Pengganti Maszlee mesti orang Melayu dan Islam

Pengganti Maszlee mesti orang Melayu dan Islam

Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan yang bakal menggantikan tempat Dr Maszlee Malik mestilah dipilih dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Azad Hashim yang melontarkan pandangan itu berkata, individu itu juga perlulah seorang yang berkualiti baik serta mempunyai iltizam memperkukuhkan jatidiri pendidikan berasaskan acuan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat.

“Benar, kita tidak setuju dengan Dr. Maszlee Malek dalam beberapa perkara. Tetapi saya tetap menghormati kesungguhan dan daya usaha beliau.

“Saya harap tujuan perletakkan jawatan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu bukanlah kerana tunduk kepada desakan pihak tertentu supaya memberi laluan kepada agenda yang melemahkan usaha memperkukuhkan dasar pendidikan kebangsaan yang berpaksikan Perlembagaan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Maszlee membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas beliau bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad petang semalam.

Maszlee melepaskan jawatannya itu selepas beliau dikatakan sering menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan.

Beliau melepaskan jawatannya selepas 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette