PUTRAJAYA – Malaysia akan meneruskan penghujahan separa berhubung kawasan perairan laut Utara Laut China Selatan kepada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS).
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun tindakan Malaysia dibantah China, pihaknya tanpa rasa takut akan meneruskan usaha itu untuk menuntut hak perairan.
“Bantahan China itu kami memang sudah jangkakan dan itu perkara yang normal.
“Namun itu tuntutan kami dan kami akan terus konsisten menuntut hak perairan kami,” katanya dalam sidang media khas Kad Laporan Pencapaian 2019 dan sasara pencapaian 2020 Wisma Putra hari ini.
Ditanya kenapa Wisma putra baru mengemukakan hujah terhadap tuntutan mereka, Saifuddin berkata, penghujahan yang dilakukan pada Disember 2019 itu adalah masa terbaik untuk berbuat demikian.
Mengulas lanjut, menurut Saifuddin, Malaysia akan tetap meneruskan usaha menuntut hak perairan tersebut dengan cara diplomatik.
Pada 17 Disember lalu, China mengemukakan bantahan berhubung tindakan Malaysia menghantar penghujahan separa mengenaai kawasan perairan lautnya kepada CLCS bagi kawasan utara Laut China Selatan.
China mendakwa tindakan Malaysia melanggar dan mencabul kedaulatan dan bidang kuasa negara itu di lautan tersebut yang kian lama menjadi rebutan dan pertikaian negara-negara serantau.
Bantahan itu dikemukakan dalam nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Ditanya sama ada Malaysia takut jika China bertindak balas dengan menaikkan tarif import, Saiffuddin berkata, negara tidak gentar dengan apa sahaja kemungkinan yang akan menyusul dari kuasa besar ekonomi Asia itu.
“Kalau kami takut memikirkan perkara itu, kami hari ini tidak mengemukakan tuntutan kami terhadap perairan (hak Malaysia),” tambah beliau. – MalaysiaGazette