Home Nasional Anak kapal pun mahu Skim Insurans Pekerja

Anak kapal pun mahu Skim Insurans Pekerja

Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mahu kerajaan mengkaji semula Skim Insurans Pekerja (SIP) supaya anak-anak kapal turut diberi perlindungan yang sama.

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, jika skim insuran pekerjaan dalam bidang lain boleh dilancarkan mengapa skim yang sama tidak boleh ditawarkan kepada anak-anak kapal.

Menurut beliau, NUFAM telah banyak kali membangkitkan isu ini namun tidak dipedulikan.

“Kita memohon semua syarikat penerbangan yang mengambil pekerja kru kabin diberikan SIP ini tidak kurang dari RM150,000 seseorang.

“Kita ambil contoh dalam insiden pesawat MH370 dan MH17, keluarga anak-anak kapal hanya dibayar RM90,000 dan ini sama sekali tidak mencukupi untuk keluarga menanggung segala kos hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malah, tegas Ismail, gaji anak kapal di Malaysia juga tidak setaraf dengan syarikat penerbangan diluar negara.

Seorang kakitangan kabin di Singapore Airline dan Cathay Pacific menerima gaji sebanyak RM12,000 hingga RM15,000 sebulan tetapi pekerja di Malaysia dibayar gaji sebanyak RM4,000 – RM5,000.

Ini sudah cukup menunjukkan begitu besar jurang gaji dan elaun anak kapal di Malaysia yang tidak berubah sejak 20 tahun lalu.

Ia tidak termasuk isu pekerja di sesetengah syarikat penerbangan yang masih tidak membayar gaji dan elaun pekerja.

“Ramai juga dalam kalangan pekerja syarikat penerbangan yang telah dihentikan masih tidak bekerja atau mendapat pampasan yang seharusnya diterima dari majikan.

“Jangan biarkan pekerja-pekerja ini merana bersendirian kerana mereka juga mempunyai tanggungan lantaran itu agensi kerajaan juga mesti siap sedia untuk membantu mereka jika masalah pemberhentian kerja berlaku dalam syarikat penerbangan,” ujarnya.

Ismail berkata, NUFAM memohon Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pengangkutan membuat kajian semula dan memberi lebih perhatian kepada bidang pekerjaan anak kapal kerana industri penerbangan negara semakin berkembang.

“Syarikat penerbangan megaut keuntungan tinggi tetapi gaji bayaran kepada pekerja mereka masih tidak ada perubahan.

“Sudah tiba masanya isu-isu seperti ini dipantau dengan lebih ketat oleh agensi kerajaan dan masalah kakitangan di syarikat penerbangan diberikan perhatian yang sama kerana mereka juga penyumbang kepada ekonomi negara.

“Selain aspek-aspek di atas, NUFAM memohon pihak berkuasa Malaysia turut melihat segala aspek bidang keselamatan pekerja kabin dan meneliti segala undang-undang perlindungan pekerjaan buat kakitangan kabin,” tambahnya. – MalaysiaGazette