Home Nasional Rugi lebih RM22,000 akibat Love Scam

Rugi lebih RM22,000 akibat Love Scam

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang penjawat awam di Lipis dekat sini, mendakwa mengalami kerugian RM22,200 yang dikatakan sebagai bayaran mendapatkan hadiah daripada rakan yang baru dikenali menerusi laman sosial pada bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 37 tahun itu mendakwa suspek lelaki yang kononnya menetap di United Kingdom berhasrat mengirimkan hadiah sebagai tanda persahabatan mereka yang telah terjalin selama tiga minggu.

“Mangsa mendakwa dia telah menolak tawaran hadiah itu namun menerima panggilan daripada suspek kedua (lelaki) pada 24 Disember lepas yang memperkenalkan diri sebagai pekerja bahagian penghantaran bagi memaklumkan bungkusan kiriman suspek telah sampai di lapangan terbang.

“Suspek bagaimanapun memberitahu mangsa bahawa barangan itu tidak boleh dikeluarkan sehingga dia menjelaskan bayaran penghantaran dan penyimpanan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa telah membuat sembilan transaksi secara berperingkat bermula 24 Disember hingga 31 Disember lepas, ke beberapa akaun bank yang akhirnya berjumlah RM22,200.

Bagaimanapun, suspek didakwa masih menuntut bayaran atas pelbagai alasan menyebabkan mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Bernama