GEORGE TOWN – Perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera akan ditutup sementara selama sembilan hari bermula 6 Jan ini bagi tujuan penyelenggaraan tahunan berjadual kali pertama, menurut Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PHC, operasi kereta api berkenaan akan berjalan seperti biasa selepas penyelenggaraan tahunan itu pada 15 Januari.
“Penyelenggaraan berjadual itu akan dijalankan di bawah pengawasan syarikat pengeluar funikular iaitu Garaventa AG dari Switzerland untuk memastikan sistem penggera sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.
“Pengunjung yang mahu ke pusat pelancongan itu boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh syarikat persendirian dari Taman Botani atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan itu,” menurut kenyataan itu.
PHC memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera.
Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi PHC di talian 04-8288880 atau e-mel kepada [email protected].
— BERNAMA