KUALA LUMPUR- Ibu bapa Nora Anne Quoirin yang mayatnya dijumpai di dalam sebuah hutan di Negeri Sembilan pada Ogos lalu, memfailkan saman sivil ke atas pengendali Dusun Resort kerana cuai.
Sebastian Marie Philipe dan Meabh Quoirin memfailkan saman terhadap Helen Marion Todd yang mengendalikan resort di mana Nora bersama ibu bapa dan dua adik-beradiknya yang lain tinggal ketika bercuti di negeri berkenaan.
Dalam samannya, Quoirin mendakwa Todd gagal menjaga keselamatan premis berkenaan di samping tidak memasang serta menyelenggara sistem CCTV di resort tersebut.
Todd juga didakwa gagal menjaga dan menyelenggara penutup tingkap di bilik-bilik di mana keluarga tersebut bermalam.
Menurut laporan The Star, saman berkenaan difailkan oleh peguam keluarga Quoirin, Sankara Nair dan sebutan kes akan dijalankan pada 21 Januari ini di Mahkamah Seksyen Seremban.
Plaintif menuntut antara lain ganti rugi kerosakan khas bernilai RM152,707.90, kerosakan umum yang akan dinilai oleh mahkamah, kerosakan kehilangan (bereavement) sebanyak RM30,000.
Mayat Nora Anne ditemui selepas 10 hari pencarian besar-besaran dilakukan kira-kira 2 kilometer dari resort berkenaan.
Bedah siasat yang dijalankan mendapati kematiannya akibat kebocoran pada usus akibat lapar, selain tiada tanda-tanda dirogol. – MalaysiaGazette