TAHUN 2020 baru sahaja membuka tirai beberapa hari lalu menjadi pemangkin dalam usaha meneruskan hala tuju dan wawasan yang hendak dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).
Pelbagai langkah dibuat oleh kementerian berkenaan dengan harapan dapat melestarikan golongan usahawan agar terus maju selari dengan arus perkembangan semasa.
Perkara utama iaitu memperkasa pensijilan halal terus menjadi tumpuan dalam membangunkan usahawan di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar produk mereka dapat diterima di dalam mahupun luar negara.
Ikuti temubual MalaysiaGazette dengan orang nombor satu dalam kementerian berkenaan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof yang akan mengupas tentang hala tuju kementeriannya sejajar dengan matlamat membangunkan usahawan di negara ini.
MalaysiaGazette: Sebelum ini, Datuk Seri ada menyebut tentang perlunya Malaysia menjual kepakaran berkaitan proses dan perkhidmatan halal kepada komuniti perniagaan. Bagaimana usaha dan gerak kerja kementerian bagi menjayakannya?
Mohd. Redzuan: Malaysia merupakan pelopor kepada industri halal global dengan pengalaman lebih 40 tahun membangunkan industri halal. Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang menyediakan sokongan penuh dalam mempromosi proses pensijilan halal terhadap produk dan perkhidmatan dan menjadi sumber rujukan badan persijilan halal dunia.
Kini, logo halal Malaysia telah diiktiraf oleh lebih 45 buah negara di seluruh dunia. Industri halal negara mempunyai potensi besar untuk ditingkatkan lagi dengan usaha yang lebih tersusun dan bersepadu.
Di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) telah diberi mandat untuk menerajui Jawatankuasa Pembangunan Industri (JPI) di peringkat tempatan dan seterusnya sebagai peneraju kepada industri halal di peringkat global.
Kementerian Pembangunan Usahawan telah merancang beberapa program bagi meningkatkan kefahaman kepada komuniti perniagaan mengenai mengenai ekosistem industri halal tempatan termasuk proses dan perkhidmatan halal dan dapat dikembangkan ke luar negara.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Usahawan akan melancarkan pada suku pertama tahun 2020 program MED Halal Outreach khusus untuk membimbing PKS mendapatkan pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Program ini bertujuan menjadikan pensijilan halal sebagai enabler kepada pasaran eksport yang berdaya saing.
MalaysiaGazette: Apakah ada perkembangan dalam pasaran-pasaran produk halal Malaysia sempena Olimpik Tokyo?
Mohd. Redzuan: Program Malaysia Street Festival 2020 bertujuan untuk membina dan mengukuh jenama halal Malaysia di pasaran Jepun. Sebagai salah satu program nasional tahun hadapan, program ini akan dilaksanakan melalui sinergi pelbagai kementerian dan agensi yang melibatkan usaha secara kolektif semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam pembangunan usahawan, samada awam mahupun swasta.
MalaysiaGazette: Ada terdapat sebarang perkembangan terbaharu mengenai cadangan penambahbaikan perkataan koperasi pada nama kementerian?
Mohd. Redzuan: Kementerian sedang menyediakan kertas cadangan kepada jemaah menteri bagi memasukkan nama koperasi.
MalaysiaGazette: Bagaimana usaha MED untuk capai sasaran 250,000 usahawan dalam masa lima tahun?
Mohd. Redzuan: MED komited untuk melahirkan seramai mungkin bilangan usahawan yang berkualiti, kreatif dan berkemahiran tinggi melalui program pemerkasaan dan pembangunan kapasiti, seperti yang digariskan di bawah Dasar Keusahawan Nasional (DKN2030).
Pelbagai bentuk program telah dilaksanakan oleh Kerajaan secara berintegrasi untuk membangunkan usahawan baharu meliputi aspek latihan, pembiayaan, infrastruktur dan pemasaran.
Institut Keusahawanan Negara (Insken) adalah agensi di bawah MED yang mendapat mandat khusus dalam pembangunan kapasiti dan latihan bagi mencapai matlamat ini melalui pelaksanaan beberapa program seperti Kursus Asas Keusahawanan, Kursus Latihan Teknikal Keusahawanan Jangka Pendek berbentuk outcome-based dan Program Coaching and Mentoring yang diadakan selama empat bulan dengan sasaran kenaikan jualan sebanyak 20 peratus selepas tamat program.
Selain itu, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan Program Peningkatan Perusahaan Bumiputera (BEEP) oleh SME Corp. Malaysia juga membantu usahawan muda atau belia yang berminat memulakan perniagaan menerusi bantuan kewangan bersepadu secara matching grant untuk tujuan seperti pensijilan, pembungkusan, khidmat nasihat dan bantuan teknikal. Program ini juga telah diperkembangkan kepada golongan inklusif seperti golongan B40, asnaf, orang kelainan upaya (OKU) dan luar bandar.
Program Protege Reach Out & Awareness by GLC yang melibatkan kerjasama pihak industri, agensi dan IPTA di seluruh negara juga dilaksanakan oleh MED untuk mewujudkan bilangan komuniti usahawan yang optimum.
Di samping program sedia ada, MED akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu dengan memanfaatkan media sebagai saluran penyebaran maklumat dan impak positif keusahawanan terhadap ekonomi dan pembangunan masyarakat. Langkah ini dijangka dapat membantu mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
MalaysiaGazette: Berapa ramai usahawan yang MED sasarkan selepas meletak peruntukan RM20 juta utk program Tube 6.0? Berapa nilai jualan yang dapat dijana darinya?
Mohd. Redzuan: Program Tunas Belia Bumiputera (TUBE) yang dilaksanakan oleh SME Corp., merupakan satu program bagi menggalakkan penyertaan belia sebagai usahawan melalui bimbingan keusahawanan yang bersepadu.
Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2014 sehingga November 2019, Program TUBE telah disertai oleh 5,001 belia. Perniagaan yang dijalankan mencatat nilai jualan terkumpul sebanyak RM123.1 juta dan sebanyak 10,010 peluang pekerjaan telah diwujudkan.
Pada tahun 2020, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk Program TUBE dengan jumlah penyertaan yang disasarkan adalah seramai 1,000 usahawan belia dengan sasaran sebanyak 500 peluang pekerjaan bakal diwujudkan. Nilai jualan dalam tempoh bimbingan disasarkan sebanyak RM10 juta.
MalaysiaGazette: PKS bakal menyumbang sebanyak 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini, bagaimana strategi MED untuk mencapai sasaran dan menjadi pemudahcara untuk (Perusahaan Kecil dan Sederhana) PKS?
Mohd. Redzuan: Untuk mencapai sasaran 41% sumbangan PKS kepada KDNK keseluruhan menjelang tahun 2020, pendekatan biasa (business as usual) tidak lagi memadai untuk mencapai kadar pertumbuhan sasaran tersebut. Oleh yang demikian, beberapa kluster pertumbuhan PKS yang baharu telah dikenal pasti yang meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan pembinaan antara lain ialah industri rel, peranti perubatan, aero angkasa, automotif, ekonomi digital, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui.
Penentuan kluster ini adalah berdasarkan rekod pertumbuhan tahunan purata KDNK lalu yang lebih tinggi berbanding KDNK keseluruhan. Selain itu, ianya juga dipilih berdasarkan jangkaan sumbangan nilai ditambah PKS yang dapat diwujudkan pada tahun 2020 dengan mengguna pakai Jadual Input-Output PKS dan analisis terhadap kesan pengganda nilai ditambah (value-added multiplier).
MED akan melaksanakan beberapa strategi selaku pemudahcara kepada PKS ke arah mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Tumpuan akan diberi bagi meningkatkan prestasi, kemahiran dan kecekapan PKS serta tahap daya saing di peringkat global melalui inisiatif seperti:
Memperhebatkan transformasi pendigitalan dalam kalangan PKS dengan memperluaskan liputan dan meningkatkan kelajuan capaian serta keselamatan siber (cybersecurity);
Meningkatkan integrasi PKS dalam rantaian bekalan tempatan;
Memperkenalkan dasar perolehan Kerajaan untuk PKS (carve out policy) iaitu sehingga 50 peratus daripada jumlah bekalan, perkhidmatan dan projek Kerajaan diberikan kepada PKS;
Memacu pertumbuhan, mengukuhkan dan menggalakkan eksport gerbang pembayaran tempatan dan teknologi kewangan (fintech) oleh PKS tempatan; dan meningkatkan penyertaan PKS dalam rantaian industri pelancongan konvensional dan bukan konvensional, seperti pelancongan sukan dan pelancongan perubatan. – MalaysiaGazette