KUALA LUMPUR – Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) yang digerakkan sejak April 2019 akan memuktamadkan sejumlah 200 peserta yang akan dilatih di luar negara.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, jumlah itu adalah daripada 15 kohort program MFLS peringkat Kedua pada tahun lepas.
Malah semua peserta program itu akan mengikuti kursus khas bermula 1 Februari depan.
Kesemua peserta akan menjalani kursus khas selama lapan minggu.
“Kita sudah melatih 27,000 peserta dalam fasa kedua, fasa ketiga hanya 200 sahaja yang terpilih.
“Dalam kursus ini mereka akan dihantar ke luar negara dapat pendedahan agak khusus daripada Menteri Kabinet, Perdana Menteri, dan sektor swasta dan juga CEO,” katanya dalam sidang media selepas sesi pemilihan peserta program MFLS peringkat ketiga di Akademi Kenegaraan, hari ini.
MFLS peringkat ketiga adalah adaptasi daripada ‘Japanese Future Leaders School’ dan peserta terbaik akan dilatih menjadi pelapis pemimpin negara serta sektor korporat.
Ia adalah program baharu yang menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) dirangka secara holistik dengan menggabungkan kegiatan ‘indoor’ (dalaman) dan ‘outdoor’ (luaran) yang berimpak tinggi.
Antara negara yang akan dilibatkan adalah negara-negara ASEAN, Jepun, New Zealand, Australia dan Qatar.
Untuk rekod, program ini membabitkan 70,000 belia berumur 15 hingga 30 tahun dengan peruntukan RM70 juta. -MalaysiaGazette