KUALA LUMPUR – Menyedari persembahan lakonannya pernah dikritik sebelum ini, Nabila Razali mengambil inisiatif mengikuti kelas lakonan.
Nabila berkata, beliau mengambil pendekatan itu untuk meningkatkan lagi kemahiran lakonannya.
“Saya memang ada ambil kelas lakonan. Cumanya, saya tak berani uar-uarkan saya ambil kelas sebab takut nanti hasilnya tak seperti mana yang orang jangkakan.
Walau bagaimanapun, bila saya buat kerja, saya memang akan bagi sehabis baik dan saya harap orang nampak usaha saya untuk buat lebih baik.
“Saya memang baca semua komen yang diberikan, sama ada positif atau negatif. Yang mana komen negatif itu saya tidak pernah balas dan tidak pernah mudah melatah. Kalau mereka kata ada lakonan saya yang tidak sampai pada mana-mana bahagian, saya akan tengok balik dan perbaiki dari situ selain bertanya kepada guru lakonan saya,” katanya.
Nabila memakluman kini terlibat dalam penggambaran drama bersiri bertajuk Seindah Tujuh Warna Pelangi yang akan ditayangkan pada Februari ini.
Menerusi drama tersebut Nabila akan digandingkan dengan Aeril Zafrel.
Justeru kerana bakal bergandingan dengan para pelakon yang berbakat maka penyanyi Pematah Hati dan Vroom Vroom itu mahu menimba ilmu lakonannya. -MalaysiaGazette