Home Sukan 24 atlet Sukan Sea PDRM diraikan Ketua Polis Negara

24 atlet Sukan Sea PDRM diraikan Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua kiri) diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada atlet sukan, Farah Ayuni Yahaya (kanan) pada Majlis Meraikan Atlet Sukan SEA 2019 Kontinjen PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 24 atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mewakili negara pada Sukan Sea Filipina 2019 diraikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Mess Pegawai Kanan hari ini.

Hamid Bador berkata, kesemua 24 atlet daripada keseluruhan 773 atlet kontinjen negara itu berjaya mengharumkan nama negara khususnya PDRM apabila berjaya membawa pulang 12 pingat.

Katanya, daripada 24 atlet tersebut empat atlet merupakan pegawai dan selebihnya anggota berpangkat rendah yang bertanding dalam 10 kategori sukan iaitu 7 atlet boling padang, empat atlet lumba basikal, empat atlet sukan air, dua atlet Sepak Takraw dan dua atlet Hoki Indoor.

“Manakala bagi sukan silat, Ragbi, Floorball, Menembak dan Bola Sepak Wanita masing-maisng diwakili seorang atlet PDRM.

“Lebih membanggakan, dua anggota PDRM yang menyumbang jasa kepada negara adalah Sarjan Rosli Yaakob dan Koperal Zainuddin Yusof apabila dipilih sebagai Pegawai Teknikal Sukan Tinju dan Jurulaith Penjaga Gol Sukan Bola Sepak Wanita.

“Yang mengembirakan kita atlet PDRM berjaya menyumbang lima emas, tiga perak dan empat gangsa melalui tujuh daripada 10 acara sukan yang disertai mereka.

“Sekalipun pungutan pingat edisi Sukan Sea ke-30 berkenaan tidak sehebat tuaian tahun 2017, penghargaan wajar diberikan kepada semua atlet kita yang berhempas pulas memburu kejayaan, demi mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa yang sebenarnya wira dan wirawati negara,” katanya di Majlis meraikan atlet PDRM di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor dan Pengarah 10 Jabatan Tertinggi Bukit Aman.

Hamid Bador berkata, sebagai menghargai jasa dan kerja keras atlet-atlet PDRM yang menjayakan misi buruan pingat pada temasya kali ini, insentif khas sebanyak RM2,000 bagi pingat emas, RM1,500 untuk Perak dan RM1,000 untuk gangsa diberikan.

“Selain insentif berkenaan kesemua atlet berkenaan akan dianugerahkan Surat Penghargaan Khas Ketua Pos Negara dan penglibatan mereka di persada sukan antarabangsa membanggakan manakala ramai antaranya menempa nama sebagai lagenda sukan misalnya Sazali Samad, Wong Tee Kui dan Datuk Rabuan Pit.

“Sebagai ikhtibar mempertahankan kejuaraan itu, PDRM akan sentiasa memperkasa mencari perkasa mempertingkatkan kemampuan Pasukan, demi memastikan prestasi para atlet terus cemerlang.

“Malah Majlis Sukan PDRM juga sentiasa komited mencungkil bakat-bakat baharu demi melahirkan ramai atlet berkaliber dan berprospek kilauan emas.

“Malah sebagai tanda pengiktirafan atas pengorbanan dan sumbangan atlet, saya memutuskan agar mereka yang berjaya meraih pingat dalam sukan berprestij akan datang berpeluang dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat secara medan,” katanya. – MalaysiaGazette