Home Nasional Kita agak stabil, tidak bergaduh sesama sendiri tapi rakyat masih lihat prestasi...

Kita agak stabil, tidak bergaduh sesama sendiri tapi rakyat masih lihat prestasi kerajaan tidak baik

Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) pada sidang media sempena mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020

PUTRAJAYA- Kerajaan Pakatan Harapan telah mencatatkan pelbagai pencapaian tetapi mereka tidak pandai bercerita mengenai kejayaan-kejayaan tersebut kepada rakyat.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana peralihan kerajaan berlaku dalam keadaan lancar dan aman tanpa sebarang konflik seperti di negara-negara lain.

Tambahnya, meskipun kerajaan ketika ini terdiri daripada gabungan beberapa parti dan individu namun Kabinet masih mampu membuat keputusan-keputusan mengenai dasar dan hala tuju negara dengan baik.

“Sekarang sudah ramai orang melabur di Malaysia tetapi kami masih belum mengumumkan pelaburan tersebut.

“Tetapi anda boleh lihat di seluruh dunia, banyak negara yang tidak stabil seperti Venezuela dan mereka mempunyai pelbagai masalah.

“Di Amerika Utara, Presiden Trump suka-suka hati membunuh orang, di Britain pula mereka berdepan dengan masalah Brexit, di Eropah mereka tidak bersatu, di Asia Selatan orang Islam didiskriminasi malah di Asia Timur Jepun sedang bertelagah dengan Korea Selatan.

“Kita agak stabil, kita tidak bergaduh sesama sendiri, tidak berbunuhan, tidak berdemo di jalanan tetapi rakyat masih lagi melihat prestasi kerajaan tidak baik.

“Saya tidak tahu apa yang mereka maksudkan, jika negara stabil, aman, ada progres dalam bidang ekonomi dan sosial serta sedang berusaha mengurangkan jurang di antara rakyat, saya rasa itu adalah satu pencapaian,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah di sini hari ini.

Undian yang dijalankan Merdeka Centre itu menunjukkan 61 peratus responden berpendapat Malaysia sedang menuju ke arah yang salah manakala hanya 26 peratus yang merasakan negara berada di landasan yang betul.

Isu-isu berkaitan ekonomi menjadi kebimbangan tertinggi rakyat Malaysia disusuli isu kepimpinan, pentadbiran, politik dan perkauman.

Kaji selidik berkenaan turut menunjukkan pengundi-pengundi Cina dan India lebih gemar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding Dr. Mahathir.

Undian menunjukkan setakat November tahun lepas, 14 peratus pengundi India dan 20 peratus pengundi Cina memilih Anwar berbanding Dr. Mahathir.

Bagaimanapun, sokongan orang Melayu terhadap Perdana Menteri menunjukkan peningkatan kepada 58 peratus pada November tahun lepas berbanding hanya 42 peratus pada Oktober 2018.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kritikan rakyat terhadap keputusan Kabinet untuk menukar kereta rasmi kerajaan daripada Proton kepada Toyota Vellfire, Perdana Menteri berkata, setiap kerajaan akan sentiasa menerima kritikan terutamanya daripada pembangkang.

“Setiap kerajaan akan dikritik.

“Sebelum ini, pembangkang menikmati tempoh selama 60 tahun untuk mengkritik, sekarang mereka sudah menjadi kerajaan.

“Sekarang mereka dikritik, biarkan mereka merasa “ubat” masing-masing,” katanya sambil berseloroh.- MalaysiaGazette