Home Ekonomi Singapura terima 21 permohonan lesen bank digital

Singapura terima 21 permohonan lesen bank digital

SINGAPURA – Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) menerima 21 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital pada tarikh tutup permohonan pada 31 Dis, 2019.

“Tujuh memohon lesen penuh bank digital (DFB), dan 14 lagi membabitkan permohonan lesen bank borong digital (DWB),” katanya dalam kenyataan di sini.

Bank pusat itu berkata, lesen itu menarik minat pelbagai pemohon termasuk firma e-dagang, syarikat teknologi dan telekomunikasi, FinTech (seperti platform pembiayaan orang ramai dan penyedia perkhidmatan pembayaran) dan institusi kewangan.

Majoriti daripada pemohon menyatakan MAS adalah konsortium, dengan entiti berusaha untuk menggabungkan kekuatan masing-masing bagi meningkatkan kedudukan nilai bank digital.

MAS akan menilai semua permohonan yang layak berdasarkan kedudukan nilai mereka dan akan mengumumkan pemohon yang berjaya pada Jun 2020.

“Pemohon yang berjaya dijangka memulakan perniagaan pada pertengahan 2021,” katanya.

Pengeluaran lesen baharu bank digital, yang terdiri daripada dua lesen DFB dan tiga lesen DWB, merupakan inisiatif penting yang bertujuan untuk membolehkan pemain bukan bank mempunyai cadangan nilai yang kukuh dan model perniagaan digital yang inovatif untuk menawarkan perkhidmatan perbankan.

DFB akan dibenarkan mengambil deposit runcit, manakala DWB akan memberi tumpuan kepada khidmat kepada PKS dan segmen bukan runcit yang lain.

Bank-bank digital baharu ini adalah sebagai tambahan kepada mana-mana anak syarikat yang layak, yang sudah pun menyediakan rangka kerja kawal selia sedia ada di bawah MAS untuk tujuan menjalankan model perniagaan baharu, termasuk perkongsian dengan pemain bukan bank untuk menjalankan perbankan digital. – MalaysiaGazette