Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini belum ada sebarang ketetapan dibuat berhubung caj berkenaan yang kini dikenakan oleh Mavcom.
“Apabila penggabungan itu berlaku, kami akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan caj itu atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman AirAsia berhubung penerbangan lewat malam istimewa dengan tambang rendah sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Loke ditanya sama ada kerajaan akan membenarkan CAAM mengutip caj RM1 yang dikenakan Mavcom apabila langkah menggabungkan kedua-dua entiti itu dicadangkan.
Dilaporkan langkah penggabungan Mavcom dan CAAM diputuskan kerajaan pada 12 Disember lepas adalah untuk memperkasakan CAAM serta mengukuhkan kedudukan kewangan badan itu.
Proses penggabungan itu dijangka mengambil masa lebih daripada enam bulan dan sehingga itu, kedua-dua entiti akan beroperasi seperti biasa sementara menunggu perbincangan dan langkah membatalkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.
Antara lain, penggabungan dua entiti itu akan menyaksikan fungsi utama Mavcom akan dipindahkan kepada CAAM dengan CAAM akan bertindak selaku pengawal selia utama sekali gus dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada industri penerbangan.
Isu caj berkenaan menimbulkan perdebatan apabila ada pihak dalam kalangan peserta industri mendakwa ia beban yang tidak perlu bagi penumpang manakala satu pihak lagi menganggap ia wajar kerana Mavcom tidak lagi dibiayai oleh kerajaan. – MalaysiaGazette