Home Nasional Apa khabar selatan Thailand?

Apa khabar selatan Thailand?

Suasana matahari terbenar sekitar bandar di Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2020.

PATTANI – Konflik yang berlaku di wilayah selatan Thailand antara puak pemisah sejak berdekad-dekad lalu telah menjadi salah satu daripada faktor rakyat Malaysia bimbang untuk berkunjung di wilayah berkenaan.

Bermula dengan pemberontakan di kawasan Pattani yang didominasi oleh etnik Melayu, dua lagi daerah iaitu Narathiwat dan Yala turut menerima kesan sama ekoran keganasan yang berlaku sehingga mengancam keselamatan.

Jumlah kematian akibat rampasan kuasa oleh junta tentera yang kian meningkat sejak tahun 2006 sehingga tahun 2008, ia secara tidak langsung telah menakut-nakutkan pelancong luar terutamanya dari Malaysia untuk berkunjung ke tiga daerah berkenaan.

Sedangkan kawasan tersebut memiliki keunikan kerana kemajmukan masyarakat dengan anutan terbesar terdiri daripada agama Islam dan Budha.

Malah, para pelabur juga tidak berani untuk memperjudikan nasib mereka di daerah berkenaan dan disebabkan itu pelaburan di tiga daerah itu terus merosot sehingga akhirnya merencatkan perkembangan ekonomi masyarakat setempat.

Selepas beberapa tahun, keadaan di tiga daerah berkenaan beransur pulih namun beberapa kumpulan cuba untuk mengambil kesempatan melakukan kekacauan termasuk pembunuhan.

Namun, semua itu kini mendapat pemantauan rapi daripada junta tentera Thailand.

Beberapa rundingan turut diadakan sebelum ini bagi mencari jalan perdamaian dan usaha itu juga turut melibatkan campurtangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar tahun 2005.

Mahathir ketika itu menggariskan beberapa pelan damai yang dicetuskan berdasarkan pandangannya ekoran beliau sangat mahir dengan selok belok politik di wilayah selatan Thailand.

Menjelang tahun baru 2020 yang baru sahaja membuka tirainya, MalaysiaGazette cuba menyelami hati nurani masyarakat selatan negara Gajah Putih itu untuk mendapatkan gambaran sebenar.

Ramai masih tertanya-tanya adakah lagi kegusaran berikutan insiden yang pernah menghantui mereka sebelum ini?

Umum mengetahui Thailand kini diterajui oleh kepimpinan dan raja yang baharu dan sudah semestinya tumpuan dan perhatian di tiga wilayah perkenaan juga menjadi topik utama terutama kepada Malaysia.

Wakil MalaysiaGazette akan meninjau situasi sebenar dan mencungkil semula apa yang sebenarnya berlaku di selatan Thailand menerusi pengembaraan selama lima hari di wilayah tersebut bermula 7 hingga 11 Januari menerusi artikel yang akan disiarkan secara bersiri.

Dua kanak-kanak menunggang basikal sekitar bandar di Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2020.

Ikuti perkembangan semasa yang akan disiarkan di portal ini untuk mencari jawapannya.

Apa yang dikutip menerusi pengembaraan itu akan menjadi indikator kepada Malaysia sebagai perantara dalam usaha merapatkan perdamaian untuk dihidupkan semula dengan tujuan bagi menamatkan konflik di tiga daerah di selatan Thailand itu. – MalaysiaGazette