Home Sukan Insiden di Stadium Darul Makmur disiasat

Insiden di Stadium Darul Makmur disiasat

KUALA LUMPUR – Pengendali Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan menyiasat dakwaan layanan kurang mesra diterima pengamal media yang membuat liputan aksi separuh akhir pertama Piala FA antara Pahang dan Negeri Sembilan di Kuantan, Pahang, malam Ahad lalu.

FMLLP dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaaan itu kerana menyifatkan liputan media merupakan komponen penting dalam bola sepak negara.

“Apabila laporan berkaitan diterima, kami akan mengambil tindakan yang sepatutnya bagi memastikan kesemua pihak yang terlibat menyedari betapa seriusnya perkara yang telah berlaku ini,” jelas FMLLP yang turut memohon maaf berhubung perkara berkenaan.

Difahamkan jurukamera yang hadir tidak dibenarkan membuat rakaman perlawanan berkenaan selain fasiliti media yang dikatakan tidak mencapai standard ditetapkan FMLLP.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan hasil jaringan sendiri pemain pasukan pelawat, Annas Rahmat pada minit ke-80.

Aksi timbal balik antara kedua-dua pasukan akan berlangsung pada 13 Mei ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. – MalaysiaGazette