Home Ekonomi PKS diajak berdialog

PKS diajak berdialog

Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof
Mohd. Redzuan Yusof akan berdialog dengan PKS pada 21 Januari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan agensi-agensi di bawahnya termasuk SME Corporation Malaysia (SME Corp) terus komited untuk memudahcara dan membantu usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara langsung dan tidak langsung dalam memacu perkembangannya.

PKS negara sudah berada di atas asas yang kukuh untuk bergerak ke hadapan dan tahun 2020 memberikan ruang serta peluang terbaik untuk PKS menjangkau prestasi yang lebih daripada pencapaian sebelum ini.

Berdasarkan unjuran yang diumumkan semasa Belanjawan 2020, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang pada 4.7% pada 2019 dan sedikit meningkat kepada 4.8% pada tahun 2020.

PKS juga dijangka mendapat manfaat daripada Belanjawan 2020 yang memperuntukkan sejumlah RM13.1 bilion sebagai langkah-langkah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada perniagaan dan usahawan, menurut kenyataan MED.

Perolehan kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada sumber barangan yang dibuat oleh PKS Malaysia sempena penganjuran mesyuarat dan program Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di sepanjang tahun ini.

Penganjuran APEC 2020 juga dijangka membuka peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan aktiviti pelancongan, sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, yang mana PKS akan mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung.

Menurutnya, dari perspektif yang lebih besar, PKS perlu meraih sepenuhnya manfaat digitalisasi dan teknologi terkini yang membolehkan transformasi proses perniagaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sejajar dengan aspirasi DKN2030, SME Corp akan menganjurkan satu sesi Menteri Pembangunan Usahawan Bersama PKS pada 21 Januari 2020 sebagai satu saluran untuk mendapatkan maklum balas dan komen mengenai program-program pembangunan PKS negara.

Sesi ini akan memberi peluang PKS untuk berdialog dengan Menteri Pembangunan Usahawan.

Justeru, PKS dijemput menghubungi SME Corp untuk mendapatkan tempat dalam sesi tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Fadhlia Abdul Satar 03-27756045 atau email :[email protected] atau Puan Nor Azian Md Yusof 03-27756174 atau email :[email protected] – MalaysiaGazette