KUALA LUMPUR – Prosiding SRC International Sdn Bhd melibatkan penyewelangan dana RM42 juta yang sudah masuk hari ke-68 perbicaraan menyaksikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di kandang tertuduh membela dirinya.
Najib yang kelihatan tenang ketika menjawab soalan sesekali tersenyum atau bertegas secara konsisten walaupun diasak berterusan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram hari ini.
Bagaimanapun ketika Sithambaram memberikan pandangan bahawa syarikat SRC International itu adalah seperti kepunyaan perdana menteri, Najib menjawab dengan nada keras.
Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda bahawa anda menguasai dan mengawal SRC sehingga menyebabkan pemindahan dana RM42 juta ke dalam akaun peribadi anda?
Najib: Tidak setuju.
Sithambaram: Ini juga sebab mengapa tidak ada laporan polis dibuat ketika wang itu dalam akaun anda?
Najib: Tidak.
Sithambaram: Adakah kerana ini (SRC International) adalah syarikat Perdana Menteri? Afidah Azwa (pegawai Kementerian Kewangan) dan Maliami (Setiausaha Kementerian Kewangan) kata ini adalah syarikat Perdana Menteri?
Najib: Tidak sama sekali. (dalam nada berang)
Terdahulu, ketika di soal Sithambaram mengapakah beliau tidak pernah menyoal bagaimanakah berjuta-juta wang dimasukkan ke dalam akuannya, kata Najib beliau hanya membuat andaian dana itu adalah dari sumber sah.
Najib menjelaskan, beliau hanya akan dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarmah Datuk Azlin Alias adakah baki dalam akuan itu cukup untuk dirinya mengeluarkan cek atau tidak.
Malah kata Najib, beliau juga tidak pernah ditunjukkan butiran baki akaun bank dari 2011 sehingga 2015 juga tidak ada sebarang penyata akaun bank di hantar kepadanya pada tempoh tersebut.
Najib juga mendedahkan Azlin tidak pernah memberitahu langsung kepada beliau tentang kemasukan dana sebanyak RM42 juta ke dalam akuan peribadinya.
Sithambaram: Adakah Azlin telah rahsiakan tentang wang RM42 juta itu daripada kamu? Begitu?
Najib: Benar. Dia tidak beritahu tentang kemasukan RM42 juta itu.
Bekas Presiden UMNO itu juga mengakui beliau telah mendapatkan ‘faedah’ dengan tindan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho yang memasukan jutaan ringgit ke dalam akuan peribadinya antara 2014 dan 2015.
Bagaimanapun tegas Najib, beliau tidak pernah meminta wang itu di depositkan dalam akuannya.
Sithambaram ketika itu meninggikan suara apabila Najib tertegas sepatutnya Ambank memberitahu beliau tentang wang itu yang masuk ke dalam akuanya.
Najib: Sepatutnya bank yang beri amaran tentang kemasukan wang-wang ini kepada saya. Bukan saya yang uruskan akaun bank saya.
Sithambaram: Patut kamu yang memberitahu bank kerana wang di masukkan dalam akuan tanpa pengetahun kamu.
Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika ini. –MalaysiaGazette