Home Akhbar Cina Pelajar guna PTPTN sertai skim labur haram

Pelajar guna PTPTN sertai skim labur haram

JOHOR BAHRU – Dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi National (PTPTN) yang asalnya bertujuan membantu pelajar melanjutkan pelajaran telah disalah guna sebagai modal untuk skim cepat kaya.

Dalam pada itu, terdapat juga penjaja yang ketagih dengan skim pelaburan haram sehingga sanggup meninggalkan kerja bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada permainan duit.

Nanyang Siang Pau melaporkan, terdapat pelajar dari sebuah kolej swasta di Johor menggunakan duit PTPTN untuk melabur dalam skim JJ Poor to Rich atau JJPTR yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Peserta JJPTR perlu menyediakan AS$1,000 sebagai modal pelaburan dan pelajar yang terpengaruh sanggup menggunakan pelbagai cara untuk mengumpulkan duit tersebut.

Selain melakukan kerja sambilan atau meminjam daripada ahli keluarga dan kawan, ada juga pelajar yang sanggup membelanjakan duit PTPTN untuk menyertai skim pelaburan.

JJPTR yang menjanjikan pulangan modal pada kadar 20 peratus dilaporkan mengalami kejatuhan selepas sistemnya diceroboh. Kejadian itu turut mewujudkan perhatian mengenai skim-skim pelaburan yang mencurigakan di negara ini.

Jemaah Menteri dilaporkan telah mengarahkan tindakan diambil untuk membanteras skim-skim pelaburan haram di negara ini.

Menurut Nanyang Siang Pau, kemunculan skim-skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan tinggi memberi tamparan kepada pelaburan insurans dan amanah saham dengan kejatuhah pernigaan sebanyak 30 peratus.

Persatuan penjaja yang dihubungi akhbar itu juga mengakui terdapat penjaja dan pekerja yang mempertaruhkan simpanan mereka dengan skim cepat kaya kerana merungut tentang gaji yang rendah.

“Ramai penjaja yang ketagih dengan permainan wang sehingga tidak memberi perhatian kepada perniagaan mereka,” kata Timbalan Presiden Persatuan Penjaja Utara Semenanjung, Lin Dong Yin.