ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor melakukan penyusunan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) membabitkan tiga Exco berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, tiga Exco yang terlibat ialah Aminolhuda Hassan, Mohd. Khuzzan Abu Bakar dan Sheikh Umar Ali.
Aminolhuda yang merupakan Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi akan memegang portfolio Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Mohd. Khuzzan yang sebelum ini Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan akan memegang portfolio Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan.
Sheikh Umar yang memegang portfolio Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi kini memikul tanggungjawab sebagai Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sains dan Teknologi.
“Penyusunan semula portfolio ini bertujuan bagi memperkemas dan memantapkan bidang tugas Exco-Exco berkenaan selain ia juga dilakukan sebagai keperluan semasa yang selari dengan keadaan pentadbiran kerajaan negeri Johor,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette.