Home Seni Hidup Justin Bieber dijangkiti penyakit Lyme

Justin Bieber dijangkiti penyakit Lyme

Justin Bieber

KUALA LUMPUR- Penyanyi terkenal Justin Bieber mendedahkan beliau disahkan menghidap penyakit Lyme baru-baru ini.

Penyakit berkenaan adalah sejenis jangkitan bakteria yang biasanya dibawa oleh serangga penghisap darah.

Bieber, 25, berkongsi berita berkenaan dengan 124 juta pengikutnya di Instagram pada Rabu.

“Sementara ramai yang menuduh Justin Bieber kelihatan seperti mengambil dadah dan sebagainya, mereka tidak sedar bahawa baru-baru ini saya disahkan menghidap penyakit Lyme.

“Bukan setakat itu, saya juga mengalami kes yang serius sehingga menjejaskan kulit, fungsi otak, tenaga dan kesihatan secara keseluruhan,” katanya.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), secara kasar kira-kira 300,000 rakyat Amerika dijangkiti penyakit Lyme setiap tahun.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit tersebut boleh merebak ke sendi tulang, jantung dan sistem saraf, jelas CDC.- MalaysiaGazette