Home Nasional Projek monorel Putrajaya diteruskan semula

Projek monorel Putrajaya diteruskan semula

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

PUTRAJAYA – Selepas dihentikan pembinaan selama 16 tahun akhirnya projek monorel Putrajaya akan diteruskan semula, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Projek itu dibangunkan semua kerana sistem infrastruktur ketika pembinaan dahulu telah dibuat antaranya jambatan dan terowong.

Mengekalkan jajaran asal di Putrajaya, projek itu juga akan dilebarkan ke kawasan Kajang, Bangi dan Cyberjaya.

“Baru-baru ini kita telah adakan perbincangan dengan MOT dan jajaran yang baru telah ditetapkan dalam kawasan Putrajaya kekal seperti yang dirancang tetapi yang lain adalah akan melibatkan Kajang dan Bangi, dan juga Cyberjaya.

“Ini akan dibangunkan dengan perancangan lain termasuk ECRL, HSR yang dimasukkan sekali kawasan Putrajaya.

“Ini akan melengkapkan lagi pengangkutan awam untuk memudahkan warga dan pelancong untuk datang ke Putrajaya,” kata Khalid dalam sidang media sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020 hari ini.

Projek monorel jajaran Putrajaya dihentikan pada tahun 2004 disebabkan kekangan bajet persekutuan.

Monorel itu dicadangkan mempunyai dua aliran – satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 buah stesen dan satu lagi sepanjang enam km dengan enam buah stesen.

Monorel itu dijangka siap pada tahun 2025.

Tambah Khalid lagi, penerusan semula projek monorel itu adalah salah satu perancangan Perbadanan Putrajaya selepas menyambut ulangtahun ke 25 Putrajaya sebagai bandar.

“Ini akan melengkapkan lagi pengangkutan awam untuk memudahkan warga dan pelancong untuk datang ke Putrajaya.

“Kita dapat saksikan sebelum 2025 di mana tender akan dipanggil,” katanya lagi.

Projek monorel Putrajaya pada ketika itu menelan belanja sebanyak RM400 juta. -MalaysiaGazette