Home Nasional Demi syiar Islam, imam di 3 wilayah bergolak tolak rasa bimbang

Demi syiar Islam, imam di 3 wilayah bergolak tolak rasa bimbang

Temubual bersama Imam Masjid Darul Muhajirin, Ishak Daud di Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2020.

PATTANI – Imam-imam di masjid dan surau di selatan Thailand di sini hanya mampu berserah kepada takdir Allah SWT dalam usaha menyebarkan Islam di bumi yang bergolak sejak berdekad lalu.

Meskipun tidak dinafi bahawa ada merasa sedikit kebimbangan di dalam hati terhadap ancaman ketika mengetuai solat berjemaah atau menyampaikan dakwah, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka tunduk daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Menurut Imam Masjid Darul Muhajirin, Ishak Daud, perasan bimbang sememangnya ada dalam hati mereka yang bergelar imam di tiga daerah bergolak iaitu di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Bagaimanapun, perasaan itu tidak boleh dilayan kerana jika tidak, mereka akan dihantui oleh sifat takut yang akhirnya hanya akan menggagalkan usaha untuk menyebarkan syiar Islam.

Di selatan Thailand imam-imam bertindak memainkan peranan dalam menyampaikan dakwah selain menjadi ketua dalam mengimamkan solat secara berjemaah.
“Soal mati hidup atau bilakah ajal, kita ni berserah kepada Allah. Tapi kalau kata terjejas memang terjejas juga.

“Adakah hanya kerana terjejas itu langsung tidak boleh kita melakukan aktiviti dalam agama? katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada Ogos 2013 seorang pemimpin agama berpengaruh, Yakub Raimani yang merupakan Imam Besar Masjid Jamek Pattani dibunuh dengan kejam apabila ditembak di kepala sebanyak dua kali.

Semasa kejadian Allahyarham sedang membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan di pekan Pattani.

Dalam pada itu Ishak berkata, imam-imam di selatan Thailand tidak akan cuai dalam menggalaskan tugas masing-masing dalam memberikan didikan agama kepada masyarakat setempat.

Ujarnya, langkah mereka itu mendapat sokongan daripada pihak Majlis Agama Islam dimana penyampaian dakwah dilakukan setiap minggu menerusi khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak berkuasa agama itu.

Rantau bersempadan Malaysia itu menyaksikan pemisah berjuang menentang pemerintahan Thailand yang majoriti Buddha, menduduki kawasan itu lebih seratus tahun lalu.

Sejak 2004, pemisah bersenjata bertembung dengan tentera berkuasa Thailand, mengorbankan hampir 7,000 orang, kebanyakannya orang awam.

Angka kematian menurun paling rendah tahun lalu ketika junta Thailand mengetatkan kawalan keselamatan di selatan.

Namun, pada tagun lalu telah menyaksikan peningkatan keganasan apabila pemisah menunjukkan mereka masih berupaya menjalankan operasi selepas konflik 15 tahun.

Sukarelawan pertahanan awam dibayar gaji sangat rendah dari kalangan Islam dan Buddha, yang menerima sedikit latihan, diberi senjata dan dibayar kerajaan negeri untuk membantu pasukan keselamatan di wilayah selatan sepanjang pemberontakan.

Tentera-tentera Thailand telah bertindak di luar batas kemanusiaan ketika memasuki wilayah-wilayah Pattani.

Penentangan dari kalangan penduduk tempatan ini telah dibalas dengan penangkapan tanpa bicara pemimpin ulama dan para pengikutnya.

Pihak polis pula menyerang secara senyap terhadap para imam dan guru-guru agama yang dituduh menyebarkan sentimen anti-Bangkok.

Guru-guru agama dan imam di kampung-kampung turut hilang begitu sahaja dan penduduk Islam mendakwa polis Thailand yang melakukannya.

Mereka dituduh menghina agama Islam dan menyebarkan agama Buddha di kalangan pelajar-pelajar Islam.

Kumpulan-kumpulan penjenayah juga dipercayai mengambil kesempatan melakukan kekacauan termasuk pembunuhan ke atas pegawai-pegawai polis yang dianggap menjadi penghalang kepada aktiviti-aktiviti haram yang mereka jalankan. – MalaysiaGazette