SYDNEY – Pihak berkuasa Australia menggesa suku juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan bersiap sedia bantuan tentera susulan peningkatan suhu dan angin kencang yang dijangka memburukkan lagi kebakaran belukar yang merentasi pantai timur.
Suhu diramal mencecah lebih 40 darjah Celsius di beberapa kawasan di negara itu pada hari ini.
:Jika anda boleh keluar, anda perlu keluar,” kata Pesuruhjaya Pengurusan Darurat, Andrew Crisp bagi negeri Victoria.
Amaran kecemasan melalui pesanan teks telah dihantar kepada 240,000 orang penduduk Victoria dengan meminta mereka keluar.
Penduduk yang menetap di rantau berisiko tinggi di New South Wales dan utara Australia juga digesa supaya meninggalkan tempat masing-masing.
Seramai 27 orang telah terkorban dan beribu-ribu penduduk telah berpindah-randah selepas kebakaran memusnah lebih daripada 10.3 juta hektar tanah – kawasan sebesar Korea Selatan. – MalaysiaGazette