KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah daripada Universiti Malaya hari ini mempertikaikan keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mahu membina kawasan khas merokok di tempat awam.
Kata Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin tindakan tersebut hanya akan mempengaruhi generasi mudah bahawa amalan merokok boleh diterima.
Tambahnya, kerajaan sebenarnya kerajaan perlu memastikan kempen larangan merokok di premis awam yang berkuatkuasa 1 Januari lalu itu berjaya namun sebaliknya yang berlaku.
“Kita semua kena sama-sama bersatu tidak kira siapa dalam Malaysia untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada terdedah dari asap rokok dan daripada mereka jadi perokok.
“Jadi kalau KPKT membuat tempat-tempat merokok, kanak-kanak, remaja akan melihat contoh yang tidak baik terhadap orang dewasa.
“Mereka akan rasa merokok okay, tidak mengapa tapi sebenarnya tidak boleh. Apa yang sebenarnya kita nak tunjukkan kepada generasi muda kita?” soal beliau.
Nur Amani wakil daripada Persatuan Alumni Perubatan Universiti Malaya salah satu daripada 56 badan bukan kerajaan hari ini juga membantah usaha KPKT membina kawasan merokok.
Pensyarah di Jabatan Perubatan UM itu menambah, matlamat untuk memastikan populasi gologan perokok ialah 5 peratus pada 2045 tidak akan berjaya dengan keputusan kementerian itu baru-baru ini kerana usaha dan tindakan kerajaan jelas bercanggah.
“Kita mesti beritahu mereka bahawa merokok tidak diterima sama sekali sebab kita sedang ke arah bebas perokok tahun 2045 di mana kurang lima peratus populasi Malaysia sepatutnya adalah perokok, maknanya kanak-kanak yang lahir pada tahun 2009 tidak boleh merokok langsung bila besar,” tambahnya.
Dalam pada itu, Veeramohan wakil daripada Persatuan Kesihatan Persekitaran (MAEH) pula mencadangkan kerajaan menggalakkan perokok membawa sendiri bekas untuk membuang abu dan puntung rokok mereka berbanding memperuntukkan RM1 juta untuk membina ruang khas untuk merokok.
Pendekatan itu ujarnya secara langsung akan mengubah pemikiran perokok untuk mengubah amalan mereka apabila terpaksa membawa sendiri bekas ke mana-mana.
Inisiatif ini juga katanya lagi akan membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar apabila puntung rokok itu dikategorikan sebagai plastik yang sukar terurai.
“Di hujung puntung rokok ada penapisnya yang itulah plastik mikro, plastik yang sangat halus bila terurai dalam persekitaran apabila dicampak merata-rata, ia akan dihanyutkan masuk dalam semua permukaan air dan laut.
“Benda ini harus ditangani oleh itu kita tidak syorkan diadakan tempat khas merokok sebaliknya kerajaan harus usahakan setiap perokok membawa satu bekas untuk abu dan puntung rokoknya supaya mereka secara langsung akan mengawal pembuangan puntung rokok merata-rata,” katanya lagi.-MalaysiaGazette