Home Sukan Crystal Palace pinjam Tosun

Crystal Palace pinjam Tosun

LONDON- Penyerang antarabangsa Turki, Cenk Tosun telah menyertai Crystal Palace secara pinjaman dari Everton sehingga penghujung musim ini.

Pemain itu telah menjaringkan sebanyak 118 gol sepanjang 10 tahun karier profesionalnya di tiga liga berbeza di tiga buah negara.

Pada peringkat antarabangsa, Tosun memilih untuk mewakili Turki selepas bermain untuk skuad bawah 16 tahun (B-16) dan B-12 negara kelahirannya, Jerman.

Dia telah membuat penampilan bersama Turki dalam pusingan akhir Euro 2016 dan turut muncul penjaring terbanyak pasukan negaranya dalam kempen pusingan Kelayakan Euro 2020.

Sehingga kini dia telah menjaringkan 16 gol dalam 40 penampilan antarabangsa.

“Kami berbesar hati untuk mendapatkan khidmat Cenk untuk baki saingan musim ini.

“Kami telah menikmati separuh pertama musim ini dengan baik dan ketibaan Cenk akan menambah lagi kekuatan skuad untuk mencapai sasaran menamatkan saingan liga di 10 kedudukan teratas,” kata pengerusi kelab, Steve Parish.

Tosun memulakan kariernya bersama kelab Jerman, Eintracht Frankfurt sebelum berpindah ke kelab Turki, Gaziantepspor.

Pada musim pertamanya di Turki, dia telah menjaringkan 10 gol menerusi 14 perlawanan.

Kecemerlangan itu membolehkan dia dilamar kelab gergasi Turki, Besiktas. Bersama The Black Eagles,

Tosun telah menjaringkan 24 gol untuk membantu pasukannya menjulang kejuaraan Super Liga pada musim 2016/17. – MalaysiaGazette