Home Nasional Influenza A: Tiada keperluan beri cuti kuarantin

Influenza A: Tiada keperluan beri cuti kuarantin

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama penderma darah ketika hadir pada Perasmian Kempen Derma Darah SK-STF 73 di Surau Al-Ikhlasiah, Keramat Jaya, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR-  Tiada keperluan untuk meletakkan Influenza A di dalam kategori penyakit berjangkit yang boleh menerima kemudahan cuti kuarantin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kondisi virus demam yang sedang menular  tidak sesuai untuk diklasifikasikan seperti permintaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Namun beliau berkata, KKM memandang serius gesaan tersebut dan sedia berbincang dengan pihak berkenaan kerana ia melibatkan perubahan polisi kerajaan dan memerhati keperluannya dari masa ke semasa.

“Itulah adalah satu perubahan pindaan polisi dan saya akan pastinya mengambil usul itu secar lebih serius dan saya boleh bentangkan tapi kita tahu bahawa buat sementara waktu ini ia bukan dalam perkara-perkara itu dan kondisinya bukan seperti mana yang dminta.

“Saya pastinya boleh mengangkat agenda itu untuk kami nilai semula, kami sentiasa terbuka untuk pembaharuan kajian semula, itu sikap kita kita akan dengar pandangan siapa pun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Surau Ikhlasiah Keramat Jaya hari ini.

Semalam NUTP meminta kerajaan mempertimbang untuk memasukkan Influenza A ke dalam senarai jenis penyakit berjangkit diberikan kemudahan cuti kuarantin.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan situasi terkini penularan Influenza A dalam negara, cuti kuarantin perlu diberikan kepada guru dan pelajar yang dijangkiti virus terbabit.

Ujarnya, merujuk Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016 mengenai kemudahan cuti kuarantin hanya melibatkan enam penyakit berjangkit sedia ada ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); demam denggi dan demam denggi berdarah; campak; cacar air; difteria dan malaria.

Pekeliling sama turut menyatakan kemudahan cuti kuarantin itu bagi pegawai dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlaku wabak penyakit berjangkit atau pegawai dikurung di rumahnya oleh mana-mana kuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.

Untuk rekod, influenza adalah jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain meliputi sakit kepala, sakit otot, sakit sendi serta kelesuan.

Wabak disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan bagi orang biasa, namun boleh mengakibatkan jangkitan teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang menghidap penyakit.

Dzulkefly dalam pada itu menolak dakwaan bahawa hospital kerajaan di beberapa kawasan tertentu termasuk hospital swasta utama tidak dapat menerima pesakit dijangkiti virus Influenza A akibat kekurangan ubat dan katil.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan KKM akan sentiasa memantau tren penularan virus ini  agar ia tidak menjadi serius, termasuklah usaha memperketatkan semua pintu masuk negara.

“Ya, ada beberapa dakwaan begitu, tetapi kami telah membuat kenyataan, pastinya kalau berlaku seperti ini kita akan kekurangan katil, itu satu hal tetapi tidak semua keadaan Influenza A perlu ditahan di hospital jadi isu katil tidak timbul kecuali ia dalam kondisi di mana.

“Tapi kita akan buat pemantauan kita pun meningkatkan pemantuan kita di empat pintu masuk negara kita tingkatkan pemantauan itu adalah pening bagi kami,” katanya lagi. -MalaysiaGazette