Home Utama Taubat seorang pembunuh upahan

Taubat seorang pembunuh upahan

Temubual bersama bekas ketua gerakan pemisah Selatan Thai, Imam Nasir di Narathiwat, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2020.

NARATHIWAT – Aktiviti pembunuh upahan bagi mencari mangsa di Malaysia bukanlah satu cerita rekaan sebaliknya ia benar-benar berlaku.

Ia berlaku berdasarkan permintaan daripada orang yang memberi upah.

Perkara itu didedahkan oleh bekas ketua kumpulan pemisah di selatan Thailand yang dikenali “Nasir” kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, untuk meragut nyawa individu dengan cara menembaknya, bayaran tertentu ditetapkan kepada pemberi upah bergantung kepada latar belakang orang yang hendak ‘dilenyapkan’.

Malah, harga bagi setiap bayaran upah boleh mencecah puluhan ribu ringgit terutama bagi membunuh individu berprofil tinggi.

“Biasanya upah diambil daripada si pembunuh bergantung kepada latar belakang orang itu.

“Jika orang yang hendak dibunuh berstatus, upahnya boleh jadi mahal sehingga ada yang mencecah setinggi RM50,000 atau lebih,” katanya lagi.

Menceritakan lanjut Nasir berkata, pembunuh upahan akan menemui “bosnya” di satu lokasi yang tidak diketahui sesiapa bagi mengelak daripada dikesan.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak akan berunding mengenai perkara-perkara tertentu termasuk bayaran upah.

Katanya, tugas pertama yang akan dimulakan jika persetujuan dimeterai ialah merisik dan mengenalpasti orang yang hendak dibunuh bagi mengelak tersilap sasaran.

“Jika orang yang hendak dibunuh itu ada di Malaysia, pembunuh upahan ini akan kenal pasti sasarannya terlebih dahulu.

“Selepas itu, dia akan mengekori mangsa bagi mengetahui gerak-geri orang itu. Jika semuanya clear barulah dia akan menjalankan tugasnya dan yang paling penting ia perlu laksanakan tanpa gagal,” ujarnya.

Kebiasaannya kata Nasir, tembakan yang dilepaskan ke arah mangsa adalah mengikut permintaan pemberi upah sama ada ia menyasarkan kepala atau bahagian anggota badan yang lain.

Katanya lagi, apa yang penting ialah pembunuh upahan perlu memastikan mangsanya itu mati sebelum mengisytiharkan misinya selesai.

Menerangkan lanjut mengenai perkara itu Nasir memberitahu, pembunuh upahan sememangnya tidak mempunyai perasaan belas terhadap mangsanya.

Sebaliknya, mereka akan berasa megah dan berhati kering kerana berjaya melaksanakan arahan setimpal dengan upah yang diterima.

Wartawan Malaysia Gazette, Mohd Zaini Samsu Hadi menemubual bersama bekas ketua gerakan pemisah di Selatan Thai, Imam Nasir di Narathiwat, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2020.

Meskipun tidak pernah melakukan kerja seperti itu namun Nasir berkata, sudah beberapa kali ‘berperang’ dan menembak mati askar Thailand.

“Biasa saya akan suruh anak buah saya tembak mati. Saya akan cakap, ‘Mu hantar dia kubur kurang dari tujuh hari’ dan selepas itu sasaran diketahui mati,” katanya dengan nada kesal.

Nasir turut berkata, masa mudanya dia pernah mempunyai ramai pengikut dengan rangkaian yang luas di selatan Thailand ketika menjadi ketua gerakan pemisah dan kumpulan penjahat lebih 15 tahun lalu.

Kini, Nasir yang umurnya sudah mencecah 50 tahun mengakui sudah bertaubat dan mengabdikan dirinya mendalami ilmu agama sebagai satu cara ‘membersihkan’ dosa-dosa yang pernah dilakukan. – MalaysiaGazette