Home Nasional PSS idea kerajaan BN sejak 2015 – Muhyiddin

PSS idea kerajaan BN sejak 2015 – Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat tabik hormat kepada anggota RELA pada Program Kenduri Rakyat RELA di Dewan Masyarakat Papar, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 11 JANUARI 2020

KIMANIS – Pas Sementara Sabah (PSS) sebenarnya berasal daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana ia telah dibentang dan dipersetujui dalam Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing pada 31 Julai 2015.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika itu ia hanya peringkat cadangan dan dikenali sebagai Pas Residence untuk menggantikan tiga dokumen pendatang asing iaitu IM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

“Ini bukan isu politik, ini adalah isu keselamatan, sebab itu perkara ini bila kita kaji, ikut rekod yang ada di dalam kementerian saya.

“Cadangan untuk pemeluasan telah dibentang dan dipersetujui dalam Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing bilangan 2, 2015 iaitu sebelum kami menjadi kerajaan iaitu pada 31 Julai 2015 oleh setiausaha kerajaan negeri.

“Keputusan dalam mesyuarat itu ialah Pas Residence yang diberi kepada pemegang-pemegang dokumen IM13, Kad Burung-burung dan Sijil Banci, ini adalah pentadbiran lalu,” katanya pada sidang media di Dewan Masyarakat Papar hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) diiringi timbalannya, Datuk Mohd Azis Jamman bercakap pada sidang media selepas Program Kenduri Rakyat RELA di Dewan Masyarakat Papar, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 11 JANUARI 2020

Menurut Muhyiddin, jawatankuasa khas itu ditubuhkan untuk meneliti keseluruhan aspek bagi cadangan pemeluasan Pas Residence yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

“Cadangan dasar Pas Residence Sementara Sabah atau waktu itu dipanggil (PRESS) telah dibentang dan dipersetujui dalam mesyuarat pra-majlis pada 15 Februari 2016.

“Selepas dimesyuarat di peringkat pegawai, peringkat jawatankuasa pra-majlis persetujui secara bersama oleh Ketua Setiausaha KDN dahulu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dulu.

“Cadangan dasar PRESS ini juga sebenarnya telah dibentangkan ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah ini pada bilangan 1/2016 pada 16 Mei 2016,” katanya.

Katanya, ketika itu, mesyuarat jawatankuasa itu telah dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sebelum ini.

“Selaras dengan peralihan pentadbiran selepas pilihan raya umum lepas, PRESS ini telah kita teliti balik dan dibentangkan balik di bawah kerajaan yang baru,” jelasnya.

Katanya lagi, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kemudiannya bersetuju untuk meneliti dan mengkaji cadangan itu secara mendalam dan diadakan penambahbaikan, kemudiannya dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk 6 September 2019.

“Mesyuarat bersetuju dengan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pemegang dokumen IM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci mulai 1 Jun 2020,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menegaskan, PSS tiada kaitan dengan soal kewarganegaraan dan ia sekadar untuk menggantikan dokumen pendatang asing sedia ada yang berada di Sabah hampir 50 tahun.

“Soal ini tiada kaitan dengan kewarganegaraan, yang dibincang dan dipolitikkan dibahas oleh pembangkang yang dulu pun kerajaan, dia takut ini satu langkah pertama untuk memberi kewarganegaraan.

“Pentadbiran baharu bertanggungjawab juga untuk menjaga keselamatan orang-orang Sabah dan perlu ada sistem yang lebih kemas.

“Tiga kad ini macam-macam, padahal kategorinya orang yang sama, orang yang datang dulu berada di Sabah bukan warganegara tapi mesti ada surat,” katanya.

Tambah Muhyiddin, jumlah penerima PSS sama seperti penerima tiga  dokumen sedia ada kepada pendatang asing yang berjumlah 136,055 orang.

“Jumlah yang tercatit sebagai penerima IM13 adalah 51,646 penama. Manakala Sijil Banci pula seramai 47,518 dan Kad Burung-burung pula 36,892.

“PSS hanya boleh keluarkan di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan kuasa meluluskan adalah Jabatan Imigresen Sabah,” katanya.

PSS yang bakal diperkenalkan pada 1 Jun 2020 terhad kepada tempoh 3 tahun dan ia boleh diperbaharui di Jabatan Imigresen Sabah.

“Tempoh kad PSS adalah 3 tahun dan boleh diperbaharui di Jabatan Imigresen Sabah, dengan kadar bayaran RM40 setahun, kalau 3 tahun RM120.

“Ia boleh terbatal sekiranya permohonan ini mendapat pasport dari negara asal. Pergerakan mereka terhad hanya di Sabah, nak pergi Semenanjung tak boleh melainkan dengan kebenaran Jabatan Imigresen Sabah.

“PSS ini juga untuk urusan bekerja, perbankan, kesihatan di hospital, persekolahan di sekolah swasta dan berkahwin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette