KIMANIS – Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang tidak menafikan beliau adalah pemimpin veteran atau tua berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.
Bagaimanapun ia bukan satu penghalang untuk beliau berkhidmat kepada rakyat walaupun keberadaannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis tidak disenangi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Umur bossku dengan saya itu hampir sebaya, tapi saya makan makanan biasa, dia makan rumput Mongolia, sebab itu dia nampak gah sikit.
“Saya lahir tahun 1953, dia lahir juga lahir tahun 1953. Jadi tak perlulah bagi tahu kuda lama ini sebab dia pun lebih kurang begitu.
“Tak tahulah kalau dia kuda tua tapi diubah suai untuk jadi kuda tua,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika membuat walkabout di Tamu Membakut, di sini, hari ini.
Semalam, Najib dalam ceramahnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pimping menyifatkan calon Warisan itu sebagai kuda tua yang tidak relevan bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Warisan sepatutnya mengetengahkan calon anak muda dan bukannya calon kitar semula yang sudah berumur.
Karim juga menyindir Najib agar tidak bimbang dengan dirinya kerana ahli Parlimen Pekan itu sendiri masih berdepan dengan proses kehakiman yang lama.
“Jagalah kesihatan, proses di mahkamah masih panjang dan lama, jaga kesihatan dan bergembira.
“Jangan risau dengan kuda tua di sini, kuda ini masih boleh berlari, jangan risaulah.
“Kita tak patut memandang rendah antara satu sama lain,” katanya.
Najib juga tegansya perlu melihat diri sendiri sebelum menyindir pemimpin lain, lebih-lebih lagi tempoh menjadi wakil rakyat dipersoalkan.
“Itu satu lagi mengena muka dia, dia pun sama, berapa penggal dia, dari Menteri Besar, hingga ke Perdana Menteri, 21 tahun, saya baru berapa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Karim tidak melihat umur calon yang bertanding sebagai satu masalah, asalkan kesihatan sentiasa menjadi keutamaan.
“Bagi saya umur itu subjektif, ada orang muda tapi dia nampak tua, ada orang tua tapi dia nampak muda kalau dia jaga kesihatan dengan baik.
“Umur bagi saya hanya angka, saya tahu memang saya tua, tapi saya masih boleh bergerak,” katanya. – MalaysiaGazette