WASHINGTON – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) berkata tiada bukti spesifik daripada perisikan bahawa Iran merancang untuk menyerang empat kedutaannya seperti mana dakwaan oleh Presiden Donald Trump dalam justifikasinya berhubung pembunuhan Qassem Soleimani.
Tetapi Mark Esper bersetuju dengan Trump terdapat kemungkinan serangan tambahan ke atas kedutaan-kedutaan AS, katanya menerusi rancangan Face The Nation oleh CBS.
Bahkan, katanya, kenyataan Trump kepada Fox News tidak berdasarkan bukti khusus mengenai serangan ke atas empat kedutaan negara ini.
“Apa yang dikatakan oleh presiden adalah mungkin terdapat serangan tambahan terhadap kedutaan. Saya berkongsi pandangan itu.
“Presiden tidak memetik keterangan tertentu,” katanya.
Apabila diasak sama ada pegawai risikan memberikan keterangan konkrit pada ketika itu, beliau berkata: “Saya tidak melihat ia berlaku terhadap empat kedutaan”.
Sejak mengesahkan serangan ke atas Soleimani yang merupakan ketua tentera Iran di Baghdad, pegawai pentadbiran Trump telah berulang kali mendakwa mereka bertindak kerana risiko serangan terhadap diplomat Amerika dan anggota perkhidmatan di Iraq dan di seluruh rantau.
Demokrat dan beberapa Republikan di Kongres telah mempersoalkan justifikasi serangan dan mengatakan mereka tidak diberikan taklimat yang cukup dan terperinci.
Pada hari Jumaat lalu Trump berkata, Iran mungkin telah mensasarkan kedutaannya di Baghdad dan mahu menyerang empat kedutaan AS.
“Kami akan memberitahu anda, mungkin ia akan serang kedutaan di Baghdad. Saya boleh mendedahkan bahawa empat kedutaan,” katanya.
Esper dalam wawancara berasingan dalam “State of the Union” di CNN berkata, pentadbirannya mempunyai “perisikan terbaik ” bahawa serangan yang lebih meluas terhadap beberapa kedutaan mungkin berlaku.
Tetapi maklumat itu hanya boleh dikongsi dengan “Gang of Eight” – sekumpulan pemimpin tertinggi kongres yang mendapat akses taklimat mengenai maklumat sensitif.
Penasihat Keselamatan Negara Robert O’Brien berkata, ancaman akan berlaku tetapi tidak mengulas mengenai bukti yang mengatakan empat kedutaan telah disasarkan. – MalaysiaGazette