KUALA LUMPUR – Harap Tun Mahathir Mohamad dapat memperkasakan semula Sekolah Wawasan yang merupakan ideanya sebelum ini.
Itu pandangan Pensyarah Pusat Pengajian Teras Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah.
Harapan itu memandangkan Perdana Menteri itu kini memangku jawatan Menteri Pendidikan menggantikan Dr. Maszlee Malik.
Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) itu juga bersyukur kerana bosnya kini mengambil alih jawatan berkenaan.
Mahathir juga merupakan Yang Dipertua PERKIM.
“Mengenali Tun M sekian lama, secara dekat melalui PERKIM, saya amat mengharapkan Tun M, akan bertegas dalam soal pendidikan negara yang merupakan asas kepada pembinaan negara bangsa. Tidak ada tolak ansur dalam memperkasakan agenda negara dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum dalam negara.
“Pertama, perkasakan semula Sekolah Wawasan, yang merupakan ‘brainchild’ Tun M. Keputusan pendidikan adalah di tangan kerajaan, yang diketuai oleh menteri pendidikan. Jangan biarkan ultra kiasu NGO rasis Cina yang menentukannya. Cukuplah toleransi kerajaan selama ini kepada ultra kiasu, sejak sebelum merdeka lagi, hingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ridhuan, rakyat Malaysia mesti disatukan di bawah satu sistem pendidikan dan jika sekolah aliran jenis kebangsaan tidak dapat dihapuskan, Sekolah Wawasan mesti dihidupkan kembali.
Sejak lima buah Sekolah Wawasan didirikan pada zaman Tun M menjadi perdana menteri ke-4, sekolah ini telah gagal kerana tidak mendapat sambutan dari ultra kiasu.
“Kini, Tun M, sekali lagi menjadi PM ke-7 dan memangku jawatan menteri pendidikan, maka gunakanlah peluang ini untuk memberikan roh dan memperkasakan semula Sekolah Wawasan,” katanya lagi.
Beliau juga mahu sekolah persendirian Cina yang mengeluarkan Sijil UEC tidak diiktiraf kerana ia berada di luar lingkungan sistem pendidikan negara.
“Begitu juga, universiti berasaskan kaum dan parti hendaklah segera dikaji semula dan dipantau dengan ketat. Misalnya, universiti merdeka seperti Kolej Universiti New Era dan Kolej Han Chiang. Begitu juga dengan universiti yang dimiliki parti MCA seperti Universiti Tunku Abdul Rahman dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Termasuk juga, universiti yang dipunyai Parti Gerakan dan MIC,” katanya.
Ridhuan dalam kenyataannya juga membicarakan panjang lebar soal isu Bahasa Melayu, isu Jawi, penentangan golongan ultra kiasu serta masa depan pelajar di negara ini.
Beliau berharap kuasa yang ada di tangan Tun M itu dapat mengubah serta dapat menangani kesannya kepada rakyat di negara ini pada depan.
“Kepada YAB PM dan memangku menteri pendidikan, serta ketua saya di PERKIM, kami di sini bersedia berkhidmat, memberikan tenaga dan pandangan secara sukarela tanpa ganjaran, demi Malaysia tercinta ini. Selamatkan negara kita sebelum terlambat,” rayunya.
Beliau juga berdoa agar Tun M akan terus pemimpin Kementerian Pendidikan hingga PRU-15.
“Ditakdirkan kementerian ini akan berpecah dua iaitu pendidikan dan pengajian tinggi, kembali asal. Teruskan memimpin kementerian pendidikan.
Hanya Tun M sahaja yang mampu berhadapan dengan ultra kiasu ini,” katanya.
Satu lagi, jika kuota menteri pengajian tinggi adalah untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia, beliau mencadangkan Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai menteri.
Sebelum itu, Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Mohd. Zaini Hassan juga meletakkan harapan kepada Tun M membuat perubahan dalam Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
‘Kami percaya Tun M ada hikmah kembalikan kecemerlangan pendidikan’