KUALA LUMPUR- “Tan Sri (Isa) memanggil saya untuk berjumpa di pejabatnya beberapa kali selepas saya serah wang dari Ikhwan kepadanya.
“Dia beritahu saya ‘Nah! Ambik sikit’ dan berikan saya antara RM10,000 hingga RM20,000. Kadang-kadang dia berikan saya sehingga RM50,000 walaupun saya tidak memintanya,” kata bekas pembantu Isa Samad, Muhammad Zahid Md Arip.
Zahid kini merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Zahid dalam kenyataan kesaksiannya di mahkamah hari ini mendakwa Isa berbuat demikian selepas beliau mengutip wang tunai bagi pihak bekas Pengerusi Felda itu dipetik dari laporan FMT.
Muhammad Zahid bekerja sebagai pegawai khas Isa dari tahun 2011 hingga tahun 2016.
Beliau mendakwa mengutip wang tunai sebanyak sembilan kali daripada Ikhwan Zaidel yang merupakan pengarah di Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd antara Julai 2014 hingga Disember 2015 di pelbagai lokasi.
Zahid memberitahu mahkamah dia diperkenalkan kepada Ikhwan pada September 2013 melalui rakannya, Azizi Abd Wahab.
“Azizi bawa Ikhwan berjumpa saya di pejabat saya di Felda kerana Ikhwan mahu menjual Merdeka Palace and Suites Hotel di Kuching.
“Saya beritahu mereka saya akan serah cadangan itu kepada Tan Sri,” katanya.
Zahid kemudian dimaklumkan oleh Ikhwan pada Mac 2014 bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil memutuskan untuk tidak meneruskan pembelian hotel itu.
Bagaimanapun, Ikhwan mahu cuba dan menjual hotel itu melalui saluran lain.
Zahid memberitahu mahkamah, pada satu ketika di bulan yang sama, Isa, selepas menerima satu panggilan telefon, memaklumkan kepadanya perdana menteri ketika itu meminta Felda menimbang semula keputusan untuk tidak membeli hotel tersebut.
“Saya terkejut mendengarnya. Perdana menteri yang dimaksudkan Tan Sri ialah (Datuk Seri) Najib Razak,” kata Zahid.
Zahid berkata Zaid juga memberitahu perkara yang sama mengenai menimbang semula pembelian hotel tersebut.
“Kata-kata tepat Zaid adalah ‘Nak buat macam mana, ini arahan PM, kita kena buat lah’,” katanya.
Zahid juga berkata Isa memberi arahan kepadanya untuk menghubungi Ikhwan dan “kirim salam”.
“Ini bukan ‘salam’ biasa kerana Tan Sri meminta saya menghubungi Ikhwan untuk mendapatkan pembiayaan politik,” katanya.
Terdahulu, Ikhwan memberitahu mahkamah dia membayar sebanyak RM3.09 juta kepada Isa melalui Zahid selepas Isa menghantar “salam” kepadanya.
Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Isa menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah atas dakwaan menerima lebih RM3 juta di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan itu memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan, manakala pertuduhan rasuah memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali jumlah suapan. – MalaysiaGazette