Home Seni Hidup Ibu tunggal hidup harmoni di Kampung Janda Narathiwat

Ibu tunggal hidup harmoni di Kampung Janda Narathiwat

Para pekerja merupakan golongan ibu tunggal yang kematian suami akibat ditembak penjenayah dilihat sibuk membuat kerja-kerja pembuatan seramik kaca di Kampung Rotan Batu, Narathiwat, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2020.

NARATHIWAT – Sebuah perkampungan dipinggir bandar di wilayah selatan Thailand di sini mempunyai kelainannya yang tersendiri.

Tidak seperti desa yang lain, kampung tersebut yang diberi nama Kampung Rotan Batu hanya didiami oleh wanita yang bergelar janda.

Terletak lebih kurang 20 kilometer dari bandar Narathiwat, kampung berkenaan didiami seramai 150 ibu tunggal yang rata-rata kematian suami akibat ditembak penjenayah ekoran pemberontakan di wilayah itu.

Kampung itu juga sangat sinonim dipanggil sebagai ‘Kampung Janda’ oleh masyarakat setempat.

Pengurus kampung berkenaan, Oi Chai ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, janda-janda yang tinggal di kampung itu menjalani kehidupan dengan harmoni dan mereka terdiri daripada masyarakat Melayu Siam.

Oi Chai

Malah, mereka turut diberikan pekerjaan melalui bantuan kerajaan dengan ada diantaranya bekerja sebagai petani, penternak serta di dalam perusahaan barangan tembikar.

Katanya, penempatan istimewa golongan hawa yang tidak lagi mendapat kasih daripada suami itu merupakan cetusan idea Permaisuri Sirikit iaitu permaisuri bekas Raja Thailand, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Ia juga dilaksanakan menerusi Program Kecekapan Kampung dan Ladang Sampingan Ekonomi Rumah dengan setiap keluarga diberikan bantuan wang sara hidup sebanyak RM4,500 sebulan.

Kerajaan memberikan sebuah rumah kepada setiap ibu tunggal yang berkeluarga serta tanah seluas 0.6 hektar untuk kegunaan mereka bercucuk tanam bagi menyara diri sendiri dan keluarga.

“Mereka yang tinggal di sini merupakan masyarakat beragama Islam dan Siam beragama Buddha.

“Kehidupan mereka sememamgnya harmoni meskipun masing-masing mempunyai perbezaan pendapat serta pegangan agama,” katanya.

Kerajaan turut menyediakan kemudahan di perkampungan seluas 72 hektar itu dengan mengadakan tanah pertanian, kandang ternakan haiwan, kolam, sangkar ikan dan pusat pembuatan kraftangan.

Mereka turut diberi latihan kemahiran seterusnya terlibat dalam industri kecil dan sederhana.

Fakitah Mustafa

Seorang ibu tunggal Fakitah Mustafa, 35, berkata, dia sangat beruntung kerana dapat tinggal di situ selepas hidup berseorangan ekoran suaminya yang dibunuh dengan kejam oleh individu tidak dikenali.

Katanya, dia yang telah tinggal di situ sejak 11 tahun lalu diberi kemahiran dalam perusahaan tembikar dan bidang itu sememangnya bertepatan dengan minatnya.

“Kawan-kawan yang tinggal di sini semua nasibnya sama seperti saya. Jadi, kami dapat memahami perasaan antara satu sama lain dan boleh bekerja bersama.

“Di sini kami lebih selamat kerana pusat ini sentiasa dikawal oleh pihak tentera dan boleh hidup tanpa rasa ketakutan,” katanya yang mengakui berkeinginan untuk kembali bersuami tetapi mahu mendapatkan pengganti yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

Seorang lagi ibu tunggal, Siti Hanisah Abdul Rahman, 65, dia turut memilih untuk bekerja sebagai pembuat barangan tembikar yang disediakan oleh pihak pengurusan kampung itu.

Siti Hanisah Abdul Rahman

Katanya, sejak tinggal di situ 10 tahun lalu dia merasa amat tenteram dan mahu menghabiskan baki hidupnya bersama rakan-rakan ibu tunggal yang lain.

“”Bayaran gaji dan wang yang kerajaan beri sudah mencukupi untuk saya gunakan sendiri.

“Sudah tidak ada apa lagi yang saya mahu dalam hidup saya selain menghambakan diri pada tuhan.

“Saya rasa lebih selamat dan selesa di sini meskipun saya boleh memilih untuk tinggal dengan anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Che Gayah Latif, 56, pula berkata, langkah kerajaan Thailand membuka kampung itu sememangnya memberi nafas baharu kepada golongan ibu tunggal yang kehilangan suami secara tragis.

Ujarnya, penderitaan yang dialami oleh mereka selepas bergelar janda mampu dilupakan melalui kehidupan di perkampungan itu yang tidak sama seperti kampung-kampung lain.

“Di sini kami hidup macam adik beradik. Semua masalah kami kongsikan bersama. Jadi senang jika hendak dapat penyelesaian.

Che Gayah Latif

“Kami sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sangat prihatin terhadap nasib ibu tunggal seperti kami apabila mewujudnya kampung yang sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette