Home Politik Isu penahanan ADUN Selangor tak jejas PRK Kimanis

Isu penahanan ADUN Selangor tak jejas PRK Kimanis

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KIMANIS – Isu penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam memenangkan calonnya, Datuk Karim Bujang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, tindakan tegas itu membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap mana-mana pemimpinnya yang terlibat dengan salah laku jenayah.

“Kita selesaikan masalah kita di sini, masalah kita dalam gelanggang politik itu memang biasa dalam suasana negara kita.

“Ada yang terbabit, banyak yang kena tahan, tak jadi masalah, tak membantutkan ini (kempen PRK Parlimen Kimanis).

“Sekurang-kurangnya kita telus dalam mengambil tindakan, kita tak mengira apa darjat, apa pangkat dan apa parti,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Anak Muda Kimanis di Plaza Bongawan, di sini, malam ini.

Seorang ADUN Selangor didakwa ditahan polis dalam satu operasi semalam.

Turut ditahan empat pegawai khas ahli politik parti kerajaan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, semalam.

Mereka ditahan bersama enam wanita berpunca daripada laporan terhadap bunyi bising daripada sebuah parti persendirian di kondominium terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menegaskan pilihan raya kali bukan untuk menukar kerajaan sebaliknya bagi mencari wakil rakyat.

“Kita bukan ubah kerajaan tapi cari wakil rakyat.

“Pilihan raya ini cukup penting bagi kita, kita beri signal kepada seluruh negara.

“BN dan UMNO tidak semestinya boleh mengambil tampuk pemerintahan PRK akan datang dan kita akan buktikan dalam Kimanis ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette