KIMANIS – Mana-mana pemimpin Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) yang didapati terbabit dengan jenayah tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, ia selari dengan pendirian Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu ahli mahupun pemimpinnya dipertanggungjawabkan jika melakukan kesalahan.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir, kalau dia melakukan kesilapan, kesalahan, dia tak boleh dilepaskan begitu saja.
“Sama juga pada diri saya, kalau saya kesalahan dari segi undang-undang, saya patut diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa
“Sebab itu tidak ada mana-mana pimpinan Bersatu tak kira pimpinan atas mahupun akar umbi yang bebas daripada mata keadilan,” katanya selepas Himpunan Anak Muda Kimanis di Plaza Bongawan, di sini, malam tadi.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menggantungkan pegawai kementeriannya yang ditahan polis dalam serbuan awal pagi semalam sehingga menanti siasatan dimuktamadkan.
Beliau menegaskan, semua rakyat Malaysia tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira jawatan dan status mereka.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan pihak polis yang sedang menyiasat salah seorang pemimpinnya di Selangor.
“Kita biarkan pihak polis lakukan siasatan dan tidak boleh ada unsur campur tangan.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya telah mengambil tindakan untuk menggantungkan mana-mana pegawai yang terlibat sampai siasatan dimuktamadkan oleh pihak polis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette