KIMANIS – Satu saluran mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut di sini dibuka pada 8 pagi tadi bagi membolehkan sembilan pengundi awal membabitkan anggota polis, menunaikan hak mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Proses pengundian awal disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR turut menyiarkan proses pengundian berkenaan secara langsung atau ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR.
Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap Balai Polis Membakut, di sini.
Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian 18 Januari ini, di pusat pengiraan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Ban, Beaufort, Sabah dan akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu terbatal.
Keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.
Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar Negeri, memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.
Beliau mendapat 11,942 berbanding 11,786 undi yang diraih oleh calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang. – MalaysiaGazette