Home Ekonomi Siapa menang bidaan PLUS?

Siapa menang bidaan PLUS?

logo plus

SYARIKAT manakah yang akan diberi kepercayaan mengambil alih konsesi lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS), yang dijangka diumumkan minggu ini?

Keputusan itu sudah tentu dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, yang mengharapkan sinar baharu pada tahun 2020.
Empat syarikat konglomerat telah menawarkan sejumlah tawaran untuk mengambil alih PLUS. Syarikat tersebut ialah Widad Business Group (WBG), Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan tokoh perniagaan Tan Sri Halim Saad menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd.

Selain PLUS, pengambilalihan itu nanti akan turut melibatkan empat lebuh raya kendalian Gamuda Berhad iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bergelut dengan gelombang kritikan rakyat, berpeluang untuk memulihkan keyakinan dengan membuat keputusan terbaik, yang boleh diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

Keputusan itu perlu dibuat segera bagi mengelakkan kerajaan terpaksa membayar pampasan yang lebih tinggi kepada pengendali tol.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan Kabinet akan membuat keputusan minggu ini, setelah penentuan mengenainya tertunda sejak beberapa bulan lalu.

Langkah mengambil alih PLUS akan memberi manfaat kepada tiga pihak iaitu kerajaan dan pemilik PLUS; Khazanah Nasional Bhd (51%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 49% kepentingan, selain rakyat.

Kerajaan menetapkan pengambilalihan itu mesti memenuhi dua syarat, diskaun minimum 18% selain positif di segi fiskal.
Ia dilihat formula terbaik bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan selain matlamat untuk menurunkan kadar tol dengan begitu signifikan.

Di sebalik janji PH mahu memansuhkan tol belum dapat dilaksanakan lagi, pengurangan besar kadar tol akan dapat melegakan rakyat.

Perolehan kerajaan hasil daripada pengambilalihan itu nanti pastinya dapat merangsang ekonomi domestik dengan keutamaan untuk disalurkan bagi membantu rakyat.

Kerajaan sedia ada ini harus diberi peluang untuk terus mentadbir tetapi dengan syarat, ia mesti benar-benar berorientasikn rakyat kerana itu sahaja yang akan dapat menjana sokongan rakyat.

Sehingga minggu lalu, keempat-empat syarikat meramalkan peluang masing-masing cerah bagi pengambilalihan tersebut.

Kerajaan diharap lebih sensitif dengan mengambil kira sentimen rakyat terutama dalam menolak kronisme kerana ia akan memberi implikasi besar.

Dalam iklim politik semasa dan pengharapan rakyat yang begitu tinggi, kerajaan harus mempertimbangkan organisasi atau pemain baru yang lebih dinamik selaras dengan aspirasi di bawah era Malaysia Baharu.

WBG isitu syarikat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu tempatan dilihat mempunyai kelebihan kerana menawarkan pakej terbaik selain dilihat dapat menyuntik pembaharuan bagi memacu ekonomi negara.

Dalam konteks ini pemain baharu yang berwibawa akan lebih diterima oleh rakyat berbanding syarikat dan tokoh konglomerat yang sudah diberi banyak peluang besar sebelum ini.

WGB menawarkan bidaan bernilai RM5.3 bilion dengan mendapat rakan strategik antarabangsa yang menawarkan sokongan inovasi dan teknologi tercanggih seperti Artificial Intelligence (AI).

Menurut WBG, sekiranya berjaya mengambil alih konsesi itu, pihaknya akan mengurangkan kadar tol sebanyak 25 hingga 40 peratus berbanding kadar sedia ada.

Selain WBG, tiga pihak lain yang menawarkan bidaan adalah Maju Holdings Sdn Bhd bernilai RM34.9 bilion termasuk hutang, serta masing-masing dari RJR Capital (RM3.5 bilion) dan Tan Sri Halim Saad (RM5.2 bilion).

Sementara itu, RRJ Capital optimis syarikatnya yang berpangkalan di Hong Kong dapat memenangi bidaan tersebut kerana mempunyai ekuiti tunai untuk membiayai pelaburan.

Maju Holdings yang dimiliki Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan Karongsa Private Capital dikuasai Tan Si Halim Saad turut teruja syarikat masing-masing akan menjadi pilihan kerajaan.

Tan Sri Abu Sahid dan Tan Sri Halim adalah tokoh yang sudah dikenali ramai dan mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak sekian lama.

Apa pun, keputusan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir akan pasti meletakkan kepentingan awam, efisiensi dan penjimatan kos mengatasi kepentingan lain seperti kronisme.

Syarikat mana sekalipun yang memenangi bidaan PLUS, pemenang sebenar mestilah rakyat Malaysia. Bukankah ini Malaysia Baharu!, yang bermakna tiada lagi penyakit dan gejala lama.

Oleh: Samsudin Awang, Pensyarah, penganalisis dan aktivisĀ