Home Nasional Pinda 1MDB: Mahkamah dengar rakaman audio dibuat secara rahsia

Pinda 1MDB: Mahkamah dengar rakaman audio dibuat secara rahsia

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah berikutan kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masuk hari kelapan  hari ini masih mendengar rakaman audio yang dibuat secara rahsia ketika mesyuarat penyelarasan pada 24 Februari 2016.

Mesyuarat tersebut yang didakwa dibuat atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Ia juga dihadiri oleh Tan Sri Syukry Salleh, pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah serta Arul Kanda Kandasamy.

Mahkamah memainkan kembali rakaman audio sejak perbicaraan semalam yang dirakam oleh pegawai Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani.

Semalam, saksi ketujuh yang juga bekas pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad memberitahu mahkamah ketika soal balas, sepanjang perkhidmatannya sejak tahun 1979 dan bersara pada tahun 2016, dirinya tidak pernah menghadiri mesyuarat bagi tujuan meminda laporan audit seperti itu.

Malah kata Saadatul, bukan sahaja dirinya kecewa dengan arahan pindaan itu malah mendakwa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang juga kecewa.

“Tan Sri (Ambrin) kelihatan begitu terjejas dan kecewa. Sebagai ketua audit, saya rasa dia tidak gembira.

“Saya juga kecewa. Kami memberikan peluang kepada 1MDB untuk membincangkan isu berkenaan. Saya beritahu mereka bahawa kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara, adalah berlandaskan fakta,” jelasnya di hadapan Hakim Mohd Zaini Mazlan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Prosiding yang pukul 2 petang dan peguambela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir kerana tidak berapa sihat dan hanya akan dapat hadir pada perbicaraan esok.

Hakim meneruskan perbicaraan dengan memainkan semula rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit ketika ini. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Audit 1MDB: Saksi dakwa Ambrin kecewa arahan pinda semula