Home Nasional Hampir 1,000 rakyat Sabah berhimpun bantah PSS

Hampir 1,000 rakyat Sabah berhimpun bantah PSS

KIMANIS – Hampir 1,000 rakyat Sabah yang berpakaian serba hitam membanjiri Pekan Lama Membakut bagi menyertai Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS), hari ini.

Walaupun pihak polis mengenakan beberapa sekatan jalan raya di sepanjang Jalan Papar-Beaufort, namun ia tidak menghalang para peserta menyatakan protes pemberian PSS kepada warga pendatang tanpa izin (PTI).

Sekatan jalan raya Papar-Beaufort
Pihak polis membuat sekatan di sepanjang Jalan Papar-Beaufort untuk memeriksa peserta Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS).

Himpunan ini boleh dikatakan yang pertama dianjurkan ketika Warisan dan Barisan Nasional (BN) giat melakukan kempen bagi memenangkan calon mereka Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Tinjauan MalaysiaGazette sepanjang perjalanan ke tapak himpunan itu mendapati orang ramai terperangkap dalam kesesakan jalan raya lebih satu jam, kira-kira 30 kilometer dari Kimanis.

Peserta Himpunan
Pihak polis memantau para peserta yang hadir dalam Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS) di Pekan Lama Membakut, Sabah.

Ini kerana pihak polis membuat pemeriksaan kepada semua kenderaan yang menghala ke Membakut termasuk memeriksa kad pengenalan dan membuka bonet kereta.

Sekatan jalan itu dipercayai selepas pihak polis menerima ugutan daripada pihak tertentu di media sosial yang mendakwa PTI akan menimbulkan kekecohan semasa perhimpunan itu.

Peserta Himpunan Aman
Para peserta sedang mendengar ucapan pemimpin dalam Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS) di Pekan Lama Membakut, Sabah

Bagaimanapun sepanjang perhimpunan itu berlangsung, tiada sebarang insiden atau provokasi yang timbul malah peserta berhimpun secara tertib.

Himpunan itu turut dihadiri oleh bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Presiden Star Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Yong Teck Lee dan Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Calon BN, Datuk Mohamad Alamin turut kelihatan dalam perhimpunan aman itu yang diadakan sejak jam 9.30 pagi tadi.

Kebanyakan peserta yang hadir dalam perhimpunan aman itu disertai dalam kalangan etnik Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Bisayak Sungai, Brunei.

Dalam pada itu, dua NGO penganjur itu turut menyediakan kaunter untuk mengumpulkan tandatangan petisyen rakyat Sabah menolak pelaksanaan PSS pada Jun ini. – MalaysiaGazette