Home Nasional Bahrain setuju buka kedutaan di Malaysia, perkenal pengecualian visa

Bahrain setuju buka kedutaan di Malaysia, perkenal pengecualian visa

Sheikh Khalid Ahmed dan Hishammuddin Hussein mengadakan sidang mdia bersama di Kuala Lumpur. foto Twitter Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Bahrain bersetuju untuk membuka kedutaan di Malaysia dan hubungan kedua-dua negara bakal dieratkan lagi dengan pelancong kedua-dua buah negara akan dikecualikan visa.

Menteri Luar Bahrain, Sheikh Khalid Ahmed berkata, satu pasukan akan dihantar ke Malaysia untuk mengenal pasti lokasi dan aspek teknikal lain bagi membuka kedutaan dalam masa terdekat ini.

“Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa mengarahkan kami untuk membuka kedutaan di Kuala Lumpur.

“Jadi, dalam tempoh dua bulan ini, pasukan teknikal kami akan datang ke sini untuk mencari premis dan melihat kepada perancangan yang diperlukan untuk membuka kedutaan disini,” katanya.

Sheikh Khalid menyatakan demikian semasa Sidang Bersama Malaysia-Bahrain yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin di Hotel St Regis, KL Sentral hari ini.

Raja Hamad Isa mengakhir lawatan empat hari ke Malaysia pada hari ini.

Selain itu, langkah tersebut akan membolehkan kedua-dua buah negara berkongsi kebudayaan dan corak kehidupan.

“Bagi para diplomat, membuka sebuah kedutaan sangat dialu-alukan dan Malaysia sentiasa menjadi keutamaan Bahrain untuk membuka kedutaan di sini.

“Lawatan penuh bermakna raja kami ke negara tuan-tuan menjadikan impian kami untuk membuka kedutaan di sini tercapai, di mana ia akan mengawal selia hubungan diplomatik, urusan berkaitan pelajar kami di sini, hubungan perdagangan dan akan menambah pelancaong dari kedua-dua buah negara,” katanya.

Selain itu, Bahrain dan Malaysia juga sudah memulakan langkah awal untuk membincangkan pengecualian visa bagi rakyat kedua-dua buah negara.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas Khas berkata, selain mengeratkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua buah negara, hubungan ketenteraan juga diperkukuh dengan kedua-dua buah negara akan terlibat dalam latihan ketenteraan bersama sebagai persediaan menghadapi aktiviti keganasan.

“Kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerjasama dalam menghadapi ancaman militan bukan sahaja dari konteks ketenteraan, tetapi juga dengan pendekatan lembut iaitu menerusi ideologi dan menangkis naratif.

“Dalam pada itu, Malaysia dan Bahrain juga mengakui pentingnya pendekatan kesederhanaan seperti menggalakkan dialog, saling menghormati, persefahaman dan toleransi dalam menentang segala bentuk keganasan.

“Kami juga bersetuju untuk mengadakan latihan bersama supaya tentera kita akan mempunyai pendedahan kepada permukaan bumi seperti di Timur Tengah, dan tentera Bahrain mempunyai pendedahan dengan landskap seperti ini,” kata Hishammuddin. – MalaysiaGazette