Home Nasional Terap pembelajaran sepanjang hayat kepada kanak-kanak – Rosmah

Terap pembelajaran sepanjang hayat kepada kanak-kanak – Rosmah

Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Golongan pendidik di negara ini dinasihatkan agar menerapkan pembelajaran sepanjang hayat kepada kanak-kanak bagi menghadapi kepesatan abad ke-21 yang semakin mencabar.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pembelajaran sepanjang hayat harus menumpukan langkah dalam menyediakan kanak-kanak dalam pendekatan pengajaran yang menghubungkan ilmu dan kemahiran.

“Antara kemahiran yang perlu dikuasai adalah kemahiran berinovasi, kemahiran maklumat media dan teknologi dan kemahiran hidup dan kerjaya.

“Selain itu, para pelajar juga perlu diberi bimbingan untuk membangunkan pemikiran kritikal dan kemahiran komunikasi untuk berjaya dalam yang semakin kompetitif,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Guru Bestari 2017 anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) hari ini.

Seramai 37 guru menerima Anugerah Guru Bestari 2017, tiga guru menerima Anugerah Khas Pembangunan Pendidikan, manakala empat orang guru diberikan Anugerah Khas PIBG Sekolah.

Hadiah disampaikan Rosmah dan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Menurut Rosmah, pendidik kini menghadapi cabaran dalam menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah kemahiran berfikir aras tinggi dan pengurusan ruang pembelajaran yang lebih dinamik.

“Untuk mendepani cabaran ini, saya yakin, warga pendidik sekalian sudah bersiap siaga menghadapinya dan melengkapkan diri dengan ciri-ciri guru abad ke 21.

“Di samping itu para pendidik juga perlu sentiasa kreatif dan inovasi serta meneroka pendekatan pedagogi terkini bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, atas kecemerlangan idea serta keunggulan daya kepimpinan, Rosmah diangkat selaku Tokoh Inovasi Pembangunan Kanak-kanak daripada Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) sempena Anugerah Guru Bestari 2017.

Selaku penaung dan pengasas kepada Program PERMATA dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan pendidikan dan potensi kanak-kanak di Malaysia dalam pelbagai bidang membuatkan Rosmah individu paling layak menerima anugerah berkenaan.

Penganugerahan terhadap Rosmah berlandaskan kepada peranan, jasa dan sumbangan terhadap negara dalam membina keupayaan, mencungkil kreativiti, merangsang minda dan kemahiran sosial kanak-kanak dibawah usia empat tahun.

“Penglibatan saya dalam program-program PERMATA sememangnya memberi penekanan kepada pembangunan model insan anak-anak seawal usia lagi sehinggalah ke peringkat remaja khususnya dalam program PERMATA Pintar, PERMATA Insan dan PERMATA Seni.

“Namun demikian, bakti yang dicurahkan ini tidak sesekali mengharap sebarang penganugerahan dari mana-mana pihak,” katanya lagi.

Anugerah berkenaan disampaikan Syed Ali Alhabshee sebagai mengiktiraf peranan dan jasa baik isteri perdana menteri yang begitu besar nilainya terhadap kanak-kanak. -MalaysiaGazette.