Home Ekonomi AS, China akhirnya tandatangani perjanjian fasa pertama perdagangan

AS, China akhirnya tandatangani perjanjian fasa pertama perdagangan

Donald Trump dan Liu He berjabat tangan selepas menandatangani perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan Beijing di White House, Washington.

WASHINGTON – Presiden Donal Trump hari ini menandatangani perjanjian perdagangan dengan China yang antara lain termasuk ikrar dari Beijing untuk meningkatkan lebih dua kali ganda import produk pertanian Amerika Syarikat (AS) pada tahun pertama.

Perjanjian 86 muka surat itu dimeterai selepas dua tahun terlibat dalam rundingan hingga menyebabkan perang perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia.

Meskipun perjanjian telah dibuat tetapi tarif ke atas beratus-ratus bilion dolar bagi pelbagai barangan masih kekalkan – dua pertiga daripada lebih daripada AS$ 500 bilion ke atas import dari China – menyebabkan pengguna dan perniagaan AS terpaksa menanggungnya..

Perjanjian fasa pertama itu termasuk persetujuan China untuk meningkatkan pembelian tanaman Amerika dan eksport lain selama dua tahun.

Selain itu, menyediakan beberapa perlindungan untuk teknologi AS dan mekanisme penguatkuasaan baru yang membolehkan Washington mengenakan penalti dengan cepat, yang mana Beijing tidak dapat berbuat demikian.

“Bersama-sama kita memperbetulkan apa yang salah pada masa lalu dan menyampaikan keselamatan dan keadilan ekonomi masa depan.

“Banyak pihak menyangka ini tidak akan berlaku,” kata Trump dalam ucapannya di East Room di White House.

Trump turut merakamkan terima kasih kepada pemimpin China Xi Jinping dan memaklumkan akan melawat China dalam masa terdekat.

“Rundingan sukar untuk kita,” kata Trump, tetapi mereka membawa “kepada kejayaan yang luar biasa ini.”

Dalam sepucuk surat, Presiden China Xi Jinping memberitahu Trump bahawa perjanjian itu menandakan kedua-dua negara boleh menyelesaikan perbezaan melalui dialog.

Surat itu dibacakan oleh Naib Perdana Menteri dan Perunding Utama China, Liu He, semasa majlis menandatangani perjanjian itu.

Jinping juga optimis tentang masa depan hubungan Washington-Beijing yang disifatkannya ‘baik untuk China, Amerika Syarikat dan seluruh dunia’.

Beliau juga berharap Amerika Syarikat akan memberi layanan yang adil kepada China.

Di bawah perjanjian itu, China berjanji untuk membeli tambahan produk pertanian bernilai AS$12.5 bilion dalam satu tahun dan AS$19.5 bilion dalam tahun kedua.

Komitmen itu lebih tinggi berbanding kira-kira AS$ 24 bilion yang dibuat dibuat oleh China pada tahun 2017, sebelum perang perdagangan bermula.

Sebagai pertukaran, Amerika Syarikat bersetuju untuk mengurangkan tarif kepada AS$ 120 bilion ke atas produk China dari 15% kepada 7.5%.

Perubahan itu berkuatkuasa dalam masa 30 hari dari perjanjian ditandatangani bersama dengan perjanjian yang lebih luas.

Walaupun, China telah bersetuju untuk membeli lebih banyak produk Amerika Syarikat tetapi ia tidak membuat apa-apa komitmen khusus untuk mengurangkan tarif yang dikenakan ke atas Washington. – MalaysiaGazette